Thursday, June 30, 2011

Angkasa Bekerjasama Dengan Maidam Bantu Golongan Asnaf

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk memberi bantuan kepada lapan asnaf yang memerlukan bantuan rawatan perubatan.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata Angkasa akan membantu daripada segi menyediakan mesin hemodialisis dan ubat-ubatan kepada golongan berkenaan.

Bagi tujuan itu, Angkasa akan mewujudkan pusat dialisis di seluruh negara, katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, semalam selepas menyampaikan wang zakat Angkasa berjumlah RM67,440.13 kepada Maidam menerusi Ahli Perwakilan Pemangku Raja Terengganu Tengku Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Maidam Datuk Senara Muda Datuk Mazlan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 76 buah koperasi telah mengeluarkan zakat untuk tahun lepas berjumlah RM1.5 juta manakala sehingga Jun ini, sebanyak RM258,244 zakat telah dikeluarkan melalui 23 buah koperasi.

Mazlan pula berkata Maidam dan Angkasa merancang untuk mewujudkan koperasi di masjid seluruh Terengganu.

Katanya, apabila masjid dapat menubuhkan koperasi, ia dapat bergiat secara aktif di dalam bidang ekonomi termasuk membangunkan tanah-tanah wakaf yang tidak dapat dimajukan sebelum ini.

“Di bawah polisi baru Angkasa, tanah-tanah itu boleh dibangunkan dengan syarat masjid menubuhkan koperasi dan membuka akaun dengan Koperasi Syariah Angkasa (Kopsya) untuk mendapat pembiayaan,” katanya.

“Saya akan galakkan 426 masjid di Terengganu menubuhkan koperasi supaya dapat berkecimpung dalam bidang ekonomi yang diperkenalkan Angkasa bagi meneguhkan ekonomi institusi masjid,” katanya.

No comments:

Post a Comment