Thursday, June 30, 2011

Bimbing Pegawai Muda Jiwai Hidup Rakyat Biasa

Peserta Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu mengagihkan sejadah kepada penduduk kampung sekitar Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Seramai 118 pegawai tadbir agama, negeri dan Persekutuan menyertai Program Jejak Pegawai Muda Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti diatur selama empat hari tersebut seperti program jati diri, turun padang, bersama keluarga angkat serta kursus pemantapan rohani.

Pendekatan itu juga selaras dengan usaha untuk membentuk pegawai muda agar sama-sama menjayakan hala tuju negeri, Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI).

Menurut Pengarah T-ISSI, Arpin Draman, program julung-julung kalinya melibatkan pegawai tadbir muda itu merupakan inisiatif pihaknya untuk melahirkan lebih ramai pemegang jawatan itu yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada kerajaan.

Katanya, ia sangat penting kerana mereka merupakan imej dan tanda aras jabatan kerajaan pada pandangan masyarakat.

"Kebanyakan pegawai tadbir muda ini dilahirkan dalam keluarga yang agak senang dan lama terpisah dengan kehidupan masyarakat kerana melanjutkan pelajaran. Jadi mereka tidak terdedah masalah sebenar rakyat.

"Biarpun mereka mempunyai kelulusan cemerlang dalam akademik namun tidak bermakna mereka bijak mengawal situasi dan membuat pertimbangan apabila berdepan dengan masyarakat.

" Justeru, kita melihat program ini dapat membantu mereka menghadapi cabaran bidang tugas yang memerlukan komitmen untuk membuat keputusan sehingga menemui jalan penyelesaiannya," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mereka ditempatkan bersama penduduk di lima kampung tradisional iaitu Kampung Rhu Tapai, Gong Tengah, Setia Jaya, Merang dan Pantai Merang di Setiu.

Terdapat dalam kalangan peserta yang tidak dapat menahan air mata betapa mesranya sambutan penduduk dan terharu ketika mendengar luahan tentang masalah yang diharungi dalam kehidupan.

"Program turun padang berkenaan diadakan bagi membolehkan pegawai tadbir muda merasai dan melihat dengan lebih dekat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sejajar saranan pucuk pimpinan negeri.

"Ini bertujuan mendidik pegawai tadbir agar meletakkan diri mereka di tempat masyarakat ketika membuat sebarang keputusan agar ia sesuai dengan konsep merakyatkan pentadbiran yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Ujar Arpin, melalui tugasan yang diberikan, kreativiti dan inovasi pegawai muda dapat dilihat terutama dalam membuat sesuatu keputusan tanpa meminggirkan mana-mana pihak dan memberi kesan menyeluruh.

"Mereka juga didedahkan cara mewujudkan hubungan antara pentadbir dan orang politik agar keserasian kerja dengan pelaksana dasar seimbang.

"Soal ketidakserasian bukan sahaja di antara masyarakat malah di antara pegawai tadbir dengan ahli politik walaupun mereka tulang belakang pihak kerajaan," ujarnya.

Tambah beliau, pegawai tadbir pada masa kini perlu berdepan dengan kehendak rakyat yang semakin meningkat dan mencabar seiring dengan perubahan masa dan keadaan.

Justeru, mereka perlulah menerapkan budaya kerja yang tekun iaitu bekerja lebih dari sepatutnya dan juga bersikap mesra rakyat atau mesra pelanggan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment