Saturday, June 11, 2011

Bacaan Terbaru Pada Pesta Buku Terengganu 2011

Ahmad Razif Abdul Rahman (dua dari kanan) melawat gerai Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. sambil diperhatikan Rozita Yusoff (kiri) sempena Pesta Buku Terengganu 2011 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), kelamrin.


Sempena Pesta Buku Negeri Terengganu 2011, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) tidak ketinggalan mempromosi buku dan bahan bacaan terbaru terbitan syarikat itu.

Program selama seminggu bermula kelmarin yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu itu juga melibatkan pelancaran buku-buku baru karya penulis tempatan dari negeri ini.

Pengurus Kewangan dan Operasi UP&D, Rozita Yusoff berkata, dua buah buku terbitan UP&D bertajuk 'Cemerlang Belajar Bersama Abang Razali' karya Mohd. Razali Kamaruddin yang merupakan anak kelahiran Sungai Tong, Setiu turut dilancarkan.

"Beliau (Mohd. Razali) mula melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak di bangku sekolah dengan menyumbangkan artikel untuk majalah berbentuk pendidikan.

"Kini, beliau merupakan kolumnis ruangan 'Motivasi' untuk majalah KAWAN terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dan kolumnis 'Teknik Belajar' untuk majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya ketika ditemui pada pesta buku itu di sini semalam.

Majlis perasmian pesta tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Program tahunan anjuran kerajaan negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Jabatan Pelajaran negeri itu disertai 38 syarikat penerbit, pembekal dan agensi kerajaan.

Tambah Rozita, buku yang mempunyai 144 muka surat itu berkisar tentang tips pembelajaran yang berkesan selain rahsia melahirkan pelajar cemerlang dengan harga RM14 senaskhah.

Selain itu jelasnya, buku 'Razali Ismail-Arkitek Pendidikan Negara' adalah biografi Allahyarham Datuk Razali Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran juga boleh didapati di gerai UP&D.

"Buku yang berharga RM29 dan setebal 282 muka surat itu ditulis oleh Tuan Sharif Tuan Putera dari Kampung Petai Bubus, Kuala Terengganu yang merupakan sahabat Allahyarham.

"Tuan Sharif lebih dikenali sebagai Sharif Putera merupakan seorang penulis yang sangat prolifik menghasilkan karya sastera sejak 1962 dengan ratusan cerpen dan drama radio serta rencana," katanya.

Menurut Rozita, tulisan itu menceritakan peristiwa suka dan duka Allahyarham Razali dari zaman kanak-kanak sehingga diberi kepercayaan melahirkan dan memimpin warga pendidik seterusnya diberi peluang merencana pelan pembangunan potensi pendidikan negara.

Buku-buku berkenaan boleh diperolehi di semua kedai buku utama di seluruh negara dan pembelian juga boleh dibuat secara dalam talian dengan melawati laman web rasmi UP&D, www.mybooks.com.my.


Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment