Walaupun penyertaan Malaysia dalam acara lebuh raya pada Sukan Sea 2011 masih samar gara-gara tindak tanduk tuan rumah, namun prestasi pelumba pada Kejohanan Kebangsaan Berbasikal 2011 dan Siri Kejohanan Grand Prix akan dijadikan asas pemilihan ke temasya sukan dwi-tahunan itu.
Mohd. Adiq Hussainie, yang mahu mempertahankan kejuaraan pada perlumbaan di Raub, hari ini, sudah pasti menjadi fokus utama khususnya jurulatih Graham Seers.
Jurulatih Australia itu mahu mengenal pasti sekurang-kurangnya empat pelumba untuk mengisi senarai awal pasukan lebuh raya ke Sukan Sea.
"Perlumbaan lebuh raya di Indonesia nanti adalah one-day-race (perlumbaan sehari). Jadi saya ada asas terbaik untuk mengenal pasti siapa yang sesuai untuk siri Tour (Jelajah) dan one-day-race.
"Cara terbaik ialah menerusi prestasi mereka pada Kejohanan Kebangsaan Berbasikal 2011 dan Siri Kejohanan Grand Prix," katanya.
Pelumba Terengganu Cycling Team juga bakal mempengaruhi pemilihan kerana memiliki nama besar yang jaguh dalam pendakian seperti Mohd. Shahrul Mat Amin dan Saufi Mat Senan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan Seers telah memberi pandangannya terhadap cara pemilihan pelumba ke Sukan Sea.
"Kita belum tahu laluan acara berbasikal Sukan Sea. Saya dengar beberapa versi. Ada yang kata acara trek akan diadakan di Jakarta atau Balikpapan. Tentang lebuh raya pula, ada yang bayangkan ia bakal diadakan di Subang, dekat Bandung.
"Kita belum pasti akan menyertai acara lebuh raya di Sukan Sea 2011 kerana penganjur belum menerima 'lampu hijau' daripada ACC (Persekutuan Berbasikal Asia)," katanya.
No comments:
Post a Comment