Cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said supaya gaji dan bonus pemain bola sepak negeri itu yang menerima kad merah dipotong mendapat sokongan.
Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata pemain sepatutnya mengelak daripada dilayangkan kad merah dan mereka sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan yang bersih.
“Berilah fokus 100 peratus kepada bola sepak,” katanya mengulas cadangan yang dibuat oleh Menteri Besar itu pada Selasa.
Wan Mohd Azmi berkata pengadil pula harus tidak mudah melayangkan kad merah sewenang-wenangnya.
Bekas pemain Terengganu Mohamad Nik berkata beliau amat bersetuju dengan cadangan itu kerana ia dapat memastikan mutu permainan dijaga.
“Ada juga pemain sengaja mencari kad merah supaya dibuang padang dan boleh berehat,” katanya.
Mohamad bagaimanapun meminta persatuan supaya menimbang dan melihat sudut kesalahan sebelum sesuatu tindakan itu diambil.
No comments:
Post a Comment