Petugas TNB sibuk membuat kerja-kerja pemasangan kabel elektrik yang terputus akibat ribut di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, semalam.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu menjangkakan kerja-kerja membaiki kerosakan dan memulihkan bekalan akibat ribut malam Sabtu lalu di dua daerah dapat diselesaikan sepenuhnya lewat petang hari ini.
Pengurus Besarnya, Md. Yuslan Md. Yusof memberitahu, lebih 200 tenaga kerja digerakkan bagi tujuan itu dan mereka bekerja bergilir-gilir sepanjang masa.
Malah TNB juga mendapatkan kerjasama para kontraktor yang menjadi rakan niaga untuk membantu supaya kerja-kerja dapat dijalankan dengan lancar.
"Kakitangan dari seluruh negeri ini telah dikerah bagi menampung keperluan dan mereka bekerja bertungkus-lumus bagi memastikan kerja-kerja dapat diselesaikan secepat mungkin," ujarnya.
Beliau memberitahu Utusan Malaysia semalam, ribut yang melanda Jumaat lalu di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Marang adalah yang terburuk dalam tempoh hampir sedekad.
Kawasan yang paling teruk terjejas adalah sekitar Dewan Undangan Negeri Teluk Pasu, Manir dan Tepoh.
"TNB menerima lebih 1,000 panggilan ekoran kejadian itu melibatkan beratus kes kerosakan yang perlu ditangani dan TNB perlu menghadapi kekangan masa.
"Justeru, kita bekerja sepanjang 24 jam dengan tumpuan awal selepas kejadian ialah menyelesaikan kira-kira 150 kes kerosakan yang membabitkan bekalan terputus sepenuhnya," katanya.
Beliau menyifatkan ia sangat mencabar keupayaan TNB apabila begitu banyak kerosakan serentak dan menimbulkan kegelisahan pengguna yang tentunya mengharapkan bekalan dapat dipulihkan seberapa segera.
Katanya, kebanyakan kes disebabkan pokok tumbang yang menghempap talian di pinggir jalan dan rumah yang menyebabkan bekalan terputus.
"Ada kes tiang elektrik tumbang atau patah dan dawai terjatuh namun bekalan masih ada, keadaan tidak begitu membimbangkan. Kerja-kerja membaiki masih diteruskan," ujarnya.
Md. Yuslan mengakui pihaknya menerima banyak rungutan atas alasan kelewatan dan beliau memohon maaf kerana terlalu banyak kerosakan yang perlu diberi tumpuan.
"Jika masih ada kes terpencil di mana bekalan masih belum dipulihkan sehingga hari ini, saya berharap pengguna dapat menghubungi talian 1454," ujarnya.
Menyentuh mengenai pemantauan pokok-pokok yang begitu hampir dengan talian atau tiang elektrik beliau berkata, TNB hanya boleh memotong pokok atau mencantas dahan dalam lingkungan satu meter.
Justeru itu katanya, sekiranya ada pokok di laman rumah atau tanah yang berpotensi menghempap talian dan penduduk ingin menebang, mereka boleh menghubungi TNB bagi membolehkan bekalan dipotong semasa penebangan dilakukan.
No comments:
Post a Comment