Monday, June 13, 2011

Daftar Segera Kelahiran Anak Istimewa Dan Anak Tak Sah Taraf

Ibubapa dan penjaga digesa segera mendaftar kelahiran anak kurang upaya atau anak tidak sah taraf bagi mengelak masalah berbangkit apabila anak berkenaan dewasa.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim berkata kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak yang kurang upaya atau cacat ataupun anak cacat, seringkali gagal melaksanakan tugas berkenaan.

"Pendaftaran sepatutnya dibuat dalam masa 40 hari dari tarikh kelahiran bayi, namun ada juga ibu bapa yang lambat membuat pendaftaran yang menjejaskan kelancaran proses pendaftaran.

"Masalah pendaftaran kelahiran ini bukan sahaja terjadi kepada kanak-kanak dari golongan kurang upaya, namun turut berlaku kepada anak yang dilahirkan di luar perkahwinan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Mykad kepada lima penghuni Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, selain ibubapa, pemohonan untuk mendapatkan Mykad ataupun Sijil Kelahiran boleh dibuat menerusi pihak hospital ataupun rumah kebajikan.

Terdahulu, Alwi menyerahkan Mykad kepada lima penghuni kurang upaya di pusat berkenaan yang berumur antara 24 hingga 31 tahun.

Lima penerima berkenaan ialah Rosminy Ramley, 24, Norhashima Jaafar, 26, Look Wei Yuan dan Nor Hafizah Mohd Ali, masing-masing berumur 27 tahun, dan Tan Kok Hong, 31 tahun, yang telah menghuni pusat kebajikan itu lebih 20 tahun.

Penerima-penerima Mykad berkenaan mengalami masalah kekejangan otot pada badan atau Celebral Palsy dan ada diantara mereka yang mengalami masalah pembelajaran.

No comments:

Post a Comment