Sunday, June 19, 2011

EPIC Lebar Sayap Jual Tenaga Mahir Ke Kazakhstan

Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC), penyedia perkhidmatan bagi industri petroleum dan gas serta anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, bakal melebarkan perniagaan mereka di Kazakhstan pada tahun depan.

Pengurus Besar yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramli Shahul Hameed berkata proses perbincangan ke arah itu kini dalam peringkat akhir dan perjanjian antara kedua pihak dijangka dimeterai tidak lama lagi.

"Ini merupakan projek pertama kita di luar negara dan kita nampak Kazakhstan sebagai negara yang mempunyai potensi besar untuk kita mengembangkan perniagaan dalam bidang penyediaan perkhidmatan untuk industri petroleum dan gas.

"Untuk peringkat permulaan, ia tidak akan melibatkan sebarang pelaburan tetapi lebih kepada "menjual" kepakaran tenaga mahir kita kepada negara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan ke-30 syarikat itu di Kemaman.

Selain itu, katanya, pada tahun ini juga, EPIC akan membangunkan Pulau Kucing berhampiran kawasan perindustrian Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) untuk dijadikan sebuah pulau perniagaan dan perindustrian baru dengan pelaburan lebih RM100 juta.

Katanya, kerja-kerja bangunan di tanah seluas lebih 80 ekar itu akan mula dijalankan pada bulan depan dan dijangka selesai dalam tempoh enam hingga lapan bulan.

Ekoran pelaburan yang agak tinggi untuk projek baharu tersebut, EPIC menyasarkan keuntungan sebelum cukai yang akan diperoleh pada tahun ini hanya akan meningkat sekitar 20 peratus daripada RM75.392 juta yang diperoleh pada tahun lepas.

Bagi tempoh dua belas bulan tahun lepas, EPIC mencacatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai kepada RM75.392 juta daripada RM54.459 juta dalam tempoh yang sama 2009

Pendapatan syarikat terbabit juga naik kepada RM235.14 juta daripada RM183.47 juta sebelumnya dan ia antara lain disebabkan peningkatan dalam operasi pelabuhan dan aktiviti minyak dan gas.

No comments:

Post a Comment