Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengetuai 89 pelumba dalam cabaran Malaysia-Thailand Open Endurance Challenge Trophy '11 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, di Kuala Terengganu.
Kejohanan yang mempertandingkan dua kategori iaitu kategori 80 kilometer dan 40 kilometer itu, dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat pada pukul 6.30 petang dan 7 petang.
Tuanku Mizan yang menyertai kategori 80 kilometer dengan menunggang kuda RTES Smith bersaing dengan anakanda baginda Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail yang turut menyertai dalam kategori yang sama selain 54 pelumba lain termasuk tiga peserta wanita.
Manakala, seorang lagi anakanda baginda Tengku Fatimatuz Zahrah pula mengambil bahagian dalam kategori 40 kilometer yang berentap bersama 33 pelumba lain termasuk pelumba dari Singapura Delia Phey Qi Xuan dan pelumba berasal dari Britain, Victoria Jane Holt.
Perlumbaan sejauh 80 kilometer dijangka akan mengambil masa lebih 11 jam, manakala bagi kategori 40 kilometer pula akan mengambil masa tujuh jam.
Pasukan Malaysia antara lain diwakili oleh Royal Terengganu Endurance Stable, Malaysia Army Endurance Team, Ar-Raudah Equine Centre, Bukit Kiara Equestrian Club, dan Langkawi Endurance Team.
Manakala, antara pelumba asing yang turut menyertai kejohanan kali ini ialah pelumba dari Britain, Thailand dan Indonesia dan Singapura.
Juara perlumbaan bagi kategori 80 kilometer akan menerima hadiah wang tunai US$1,000 (RM3,035) dan piala, manakala naib juara pula akan menerima US$750 (RM2,276) dan piala, dan US$500 (RM1,517) serta piala bagi tempat ketiga.
Johan bagi kategori berkumpulan pula akan menerima hadiah US$2,000 (RM6,071) dan piala, manakala pemenang tempat pertama hingga ketiga untuk kategori 40 kilometer akan menerima piala.
No comments:
Post a Comment