Erra (kanan) menurunkan tanda tangan sambil disaksikan Suhaimi (kiri) dan Pengurus Cawangan Desa Murni Batik Kuala Terengganu, Fatimah Fathiyyas Ismail pada perasmian di Jalan Kuala Berang, Kampung Pengadang Baru, kelmarin.
Syarikat Bumiputera terbesar dalam industri pencetakan batik digital, Desa Murni Batik Sdn Bhd, cawangan Pengadang Baru di Kuala Terengganu, sesak selepas orang ramai menyerbu untuk menyaksikan dengan lebih dekat dutanya, Erra Fazira, kelmarin.
Terbukti, kehadiran aktres tinggi lampai ke pusat jualan batik itu untuk merasmikan pembukaan galeri baru batik digital buatan Terengganu disambut meriah hampir 500 pengunjungnya.
Pengarah Urusannya, Suhaimi Embong, berkata pada tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM15 juta berbanding RM11 juta tahun lalu dan yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap produk dihasilkan termasuk yang terbaru sempena pembukaan galeri baru.
“Pembukaan galeri batik dan tudung MIFFA pelbagai saiz bermula dari S hingga XL hasil rekaan 35 pereka anak tempatan diketuai seorang pereka dari Milan, Itali.
“Dengan tema 1Tudung 1Batik 1Rekaan, semua tudung ini dijual pada harga RM99 hingga RM399, manakala rekaan batik digital pula dijual pada harga RM230 hingga RM450 menggunakan fabrik berkualiti dari Itali dengan corak eksklusif,” katanya selepas pembukaan galeri baru dan pelancaran tudung MIFFA oleh Erra Fazira.
Selain itu, Suhaimi berkata, pihaknya juga merancang membuka sembilan lagi cawangan baru tahun ini dan ketika ini enam cawangan sudah dibuka termasuk empat di Kuala Terengganu dan satu di Kuala Lumpur dan Kota Bharu, Kelantan yang dibuka semalam.
Beliau berkata, pihaknya turut mengintai peluang untuk membuka cawangan di Singapura dan Brunei serta beberapa negeri lagi berikutan sambutan menggalakkan di kalangan peminat batik.
“Kita juga merancang menghasilkan pakaian mandi muslimah iaitu idea Duta Tudung dan Batik Desa Murni, Erra Fazira sendiri memandangkan ia mempunyai pasaran luas di Asia Tengah, selewat-lewatnya tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Erra turut melahirkan rasa bangga kerana terpilih menjadi duta kepada pengeluar batik terulung di negara ini yang sudah bertapak sejak 1974.
No comments:
Post a Comment