Ketika umat Islam seluruh dunia bakal menjalani ibadah puasa, pelumba basikal trek negara, Azizulhasni akan berjuang untuk mendapat semula rentak kayuhannya pada Sukan Universiti Dunia di Shenzhen Ogos ini.
Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, pertandingan itu adalah kejohanan antarabangsa pertamanya selepas mengalami kecederaan ngeri Februari lalu apabila serpihan kayu trek tertusuk pada betis kaki kirinya di Piala Dunia Klasik, Manchester.
"Sekarang ini saya banyak menumpukan perhatian pada rawatan pemulihan dan fisioterapi dan dalam masa yang sama melakukan latihan bersama pelumba lebuh raya negara di bawah bimbingan jurulatih negara, Graham Seers," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, keadaan kecederaannya sudah hampir 100 peratus sembuh cuma sekarang ini dia perlu mencari keseimbangan kayuhan yang mantap selepas luka dan jahitan di betis kaki kirinya sudah dibuka.
"Tumpuan saya sekarang ini ialah Sukan Universiti Dunia bagi mengukur di mana tahap kemampuan saya selepas berehat panjang akibat kecederaan yang begitu mengerikan sepanjang kariernya.
"Ini adalah penampilan pertama saya dalam temasya tersebut, saya tidak meletakkan sasaran tertentu, cuma ingin mendapat semula rentak kayuhan terbaik dan tidak menghiraukan siapa yang akan beraksi dalam acara yang akan disertai," katanya.
Azizulhasni, 23, akan bersama-sama seorang lagi pelumba trek kebangsaan, Akmal Amrun yang turut mengambil bahagian tetapi lebih terarah kepada jarak sederhana sementara Azizul yang lebih dikenali sebagai The Pocketrocketman dijangka menyertai acara pecut individu dan keirin.
"Bagaimanapun saya masih belum pasti acara apa yang akan disertai, apa pun ia sudah pasti acara pecut seperti pecut individu dan keirin, sementara Akmal pula akan menyertai acara jarak sederhana.
"Saya akan kembali berbincang dengan ketua jurulatih negara, John Beasley apabila pulang semula ke Melbourne hujung bulan ini, sebarang keputusan ataupun strategi bakal diputuskan olehnya sendiri," kata Azizulhasni.
Ditanya mengenai pelumba trek muda yang beraksi di Sukan Malaysia kali ke-14 yang berakhir minggu lepas, Azizulhasni berkata, dia tidak terkejut dengan perkembangan serta kehadiran pelumba berbakat.
"Saya pernah berjumpa pelumba muda ini, memang ada di antara mereka yang berbakat dan mempunyai motivasi tinggi, saya berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan acara berbasikal trek," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment