Wednesday, June 29, 2011

Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan Mulakan Kurikulum Sukan

Sekurang-kurangnya enam Institut Pendidikan Guru (IPG) akan memulakan kurikulum sukan dengan memasukkan elemen kejurulatihan sukan kepada guru pelatihnya mulai tahun ini.

Antara IPG yang dikenali pasti bagi memulakan Program Guru Sukan itu ialah IPG di Besut, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Sabah dan Johor.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Datuk Dr Haili Dolhan berkata ia sesuai dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan konsep 1Murid 1Sukan tahun depan.

Menurut beliau, elemen kejurulatihan sukan akan diperkenalkan melalui cara mengajar sukan dengan betul bagi mengelakkan kecederaan di kalangan pelajar.

Katanya, antara 500 hingga 600 guru pelatih dijangka akan diambil bagi mengikuti program guru sukan ini dengan dibantu oleh Majlis Sukan Negara dan badan-badan sukan yang berprofesional di IPG itu nanti.

"Latihan yang diberikan kepada guru pelatih itu nanti akan menekankan kepada ciri-ciri keselamatan ketika bersukan dan menepati matlamat negara dalam melahirkan pelajar sukan berprestasi tinggi dan yang hanya mengikuti sukan secara santaian sahaja," katanya di Besut semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis Persidangan Kebangsaan Pendidikan Jasmani anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) di Institut Perguruan Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata bagi melatih guru-guru sukan itu, tenaga dan kemahiran pengajar di kalangan pensyarah-pensyarah akan ditambah di IPG yang terbabit.

Jelasnya, pihaknya juga dijangka akan mengadakan kursus-kursus dalaman kejurulatihan sukan kepada guru-guru di sekolah bagi menambah pengetahuan mereka sebagai guru sukan di sekolah.

No comments:

Post a Comment