Thursday, June 30, 2011

Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia Diadakan November Ini

Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia 2011 (Intrade) bakal diadakan November akan datang dalam usaha membantu usahawan dan pengeksport tempatan meluaskan perniagaan ke luar negara.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pengeksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Zakaria Kamaruddin berkata pameran itu akan diadakan dari 22 hingga 24 November di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata pameran itu bertujuan membolehkan syarikat Enterprise Kecil dan Sederhana (EKS) bertemu pembeli luar negara melalui sesi pemadanan perniagaan yang dianjurkan.

"Ia juga bertujuan untuk melancarkan produk baru dan mempromosikan barangan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya selepas merasmikan Program Matrade Bersama Usahawan dan Pengeksport di Kuala Terengganu, semalam.

Yang turut hadir Pengarah Matrade Wilayah Timur, Hasziah Mohd Yazid.

Katanya Intrade 2011 juga memberi peluang pemain industri tempatan menjalin rangkaian dengan rakan mereka dari luar negara.

"Dengan adanya pameran ini, usahawan tidak perlu berbelanja besar untuk ke luar negara bertemu dengan syarikat luar dan kami menjangkakan pameran kali ini akan disertai lebih dari 400 hingga 500 pembeli dari seluruh dunia," katanya.

Pameran tersebut juga akan mengenal pasti dan meneroka peluang perniagaan yang ada agar syarikat tempatan berjaya mengeksport produk mereka ke peringkat antarabangsa, katanya.

Industri yang disasarkan berpotensi besar ke pasaran antarabangsa adalah automotif dan bahagian-bahagian auto, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman, perabot dan produk berasaskan kayu, kraftangan, tekstil dan barang kemas, kosmetik dan kesihatan serta perkhidmatan.

Intrade 2010 mencatatkan jumlah jualan RM4 bilion dengan kehadiran 441 syarikat dari 51 buah negara di seluruh dunia.

Beliau berkata mana-mana syarikat yang berminat untuk mendapatkan tapak di pameran ini boleh membuat tempahan melalui laman web www.intrademalaysia.my.

No comments:

Post a Comment