Tuesday, June 14, 2011

Jabatan Pelajaran Terengganu Tidak Wajibkan Pelajar Tinggal Di Asrama

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) tidak mewajibkan semua pelajar sekolah menengah harian biasa untuk tinggal di asrama sekolah masing-masing.

Pengarahnya Razali Daud berkata jika pelajar berkenaan berjaya dalam pelajaran mereka walaupun tinggal bersama keluarga di rumah, maka ia tidak perlu tinggal di asrama.

"Kita tidak wajibkan pelajar tinggal di asrama jika mereka boleh belajar di rumah dengan selesa dengan diberi perhatian oleh ibu bapa atau keluarga dengan baik.

"Tetapi kalau pelajar tinggal jauh dari sekolah atau masalah keluarga yang besar sehingga berlaku gangguan untuk belajar, ia eloklah tinggal di asrama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program elit Pra-Universiti anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam semalam. Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Agong Gagasan Syed Anuar Syed Mohamad.

Razali berkata demikian ketika diminta mengulas Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Manir yang dikatakan memaksa pelajarnya tinggal di asrama, sedangkan pelajar berkenaan tidak perlu tinggal di asrama kerana rumah mereka berdekatan dengan sekolah selain dapat belajar selesa di rumah.

Razali berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya menyiasat mengenai perkara itu.

Mengenai program yang diadakan hari ini Razali berkata ia bertujuan memberi bimbingan kepada satu kelompok pelajar tingkatan enam atas yang berpotensi mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2011.

Katanya ia bagi melonjak kecemerlangan STPM dengan melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam semua mata pelajaran.

No comments:

Post a Comment