Lebih 1,000 penduduk sekitar Kemaman menyambut kepulangan atlet yang mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke 14 di pintu gerbang sempadan antara Kemaman dan Cendor, Kuantan.
Sebaik tiba, mereka diarak meriah dengan persembahan tarian naga menuju ke Padang Astaka, Chukai, Kemaman.
Pelajar dari sekolah menengah sekitar Dewan Undangan Negeri Chukai turut mengambil bahagian mengadakan persembahan pancaragam sebagai tanda terima buat semua atlet.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata Terengganu memperoleh 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan sepanjang kejohanan itu.
Katanya, kejayaan membanggakan ini akan dikekalkan pada Sukma seterusnya dengan mencipta pelbagai rekod lain.
“Sekalung tahniah buat kamu semua atas kejayaan yang membanggakan ini, teruskan usaha untuk mencipta nama Terengganu di persada antarabangsa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata Terengganu kini adalah kuasa sukan selepas berjaya meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut dalam SUKMA.
Pada SUKMA ke-14 di Kuala Lumpur, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas.
Beliau bangga dengan atlet Sukma kerana mereka mampu mengharumkan nama Terengganu.
“Terengganu selayaknya digelar sebagai juara kuasa sukan di mana sebelum ini sudah mendapat jolokan sebagai kuasa baru sukan ketika meraih kejayaan dalam SUKMA ke 13, di Melaka.
“Tiada ucapan terbaik selain jutaan taniah buat atlet yang bertungkus lumus mencipta kejayaan ini sehingga ke detik terakhir,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Atlet SUKMA di Padang Astaka Chukai, Kemaman, petang semalam.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment