Program kempen ‘Tunggang..., Jangan tunggang langgang’ mendekati penunggang motosikal remaja khususnya mat rempit di seluruh negara yang dikendalikan Ride It Right (RIR) Management Sdn Bhd, peringkat Terengganu selama dua hari berlangsung di Dataran Shahbandar yang berakhir kelmarin.
Dataran Shahbandar yang menjadi lokasi kelapan program tajaan UMW Pennzoil Distibutors Sdn Bhd dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Terengganu, menarik ribuan penunggang remaja di seluruh negeri itu untuk menyaksikan pelbagai pameran termasuk pertunjukan menunggang motosikal daripada PDRM, cara memandu motosikal secara selamat di jalan raya, pertandingan motosikal cantik dan perhimpunan motosikal kuasa besar.
Sebelum ini tujuh lokasi seperti di Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Kuantan, Pahang; Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka, Melaka; Kangar, Perlis; Ipoh, Perak; Alor Star Kedah dan Putrajaya sudah diadakan program itu. Program berkenaan akan berlangsung di seluruh negara membabitkan 13 lokasi dengan lokasi terakhir di Litar Lumba Motosikal Sepang dijangka berlangsung Oktober ini.
Sempena program itu yang berlangsung selama dua hari, pelbagai pameran agensi penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Giat MARA diadakan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, kempen itu juga telah memberi impak besar kerana Terengganu merupakan antara negeri yang dikenali kerana penglibatan golongan belianya dalam aktiviti bermotosikal.
Tambahnya, dengan adanya kempen seperti itu, penunggang secara tidak langsung diberi pendedahan mengenai teknik tunggangan motosikal yang betul dan selamat.
“Kerajaan negeri juga sentiasa menyokong program seumpama ini dan akan memperbanyakkan program berkaitan motosikal pada masa depan,” katanya pada kempen kebangsaan peringkat negeri itu.
Hadir sama Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Mohd. Dagang; Pengurus Besar Kanan, UMW Pennzoil Distributor Sdn. Bhd., Mohd. Ruslan Abdul Ghani serta pengarah program itu, Prof. Madya Dr. Azemi Che Hami.
Program yang bermula sejak Rabu lalu itu disertai 150 belia dari seluruh Terengganu termasuk penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun.
Bermula di Padang Merdeka, Dungun, kembara itu melalui enam daerah di negeri ini dengan jarak laluan hampir 800 kilometer sebelum berakhir di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu hari ini.
ozi berkata, kerajaan negeri akan menyediakan satu tempat yang sesuai untuk para belia di negeri ini bagi menjalankan aktiviti bermotosikal.
“Dalam hal ini, kita harap dapat terus jalinkan kerjasama dengan syarikat Pennzoil dan pihak UiTM,” katanya.
Ketua Operasi RIR, Fadzil Ibrahim, berkata program anjuran Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia yang dikendalikan RIR sebagai tanggungjawab sosial yang ditumpukan kepada penunggang motosikal remaja dan mat rempit ke arah mengubah masa depan mereka supaya lebih cemerlang khususnya dalam bidang sukan permotoran, sekali gus bagi melahirkan pelumba motosikal Cub Prix profesional.
Katanya, menerusi program ini, RIR menjemput seramai mungkin penunggang motosikal remaja dan mat rempit di negeri ini menyaksikan program yang dijalankan dan mereka juga berpeluang menjadi ahli RIR.
Menerusi program itu RIR juga membawa tiga bekas juara lumba motosikal Cub Prix negara, iaitu Azlizan Tambi, Efendi Yusoff dan Yasser Said yang menunjukkan cara menunggang motosikal dengan betul di litar lumba dan bagaimana menjadi seorang juara kepada peminat lumba motosikal di sini.
Ketiga-tiga mereka adalah ikon RIR sepanjang program berkenaan berlangsung di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment