Monday, June 20, 2011

Maritim Timur Lupus 97 Bot Nelayan Asing

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Timur telah melupuskan kesemua 97 buah bot nelayan asing khususnya dari beberapa negara jiran yang ditahan kerana kesalahan memasuki perairan negara ini sejak 2006 lalu.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Timur, Laksamana Maritim Pertama Nasir Adam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 71 bot dilupus untuk dijadikan tukun dan bakinya pula dijadikan bot untuk tujuan penyamaran dalam usaha membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing berkenaan.

Jelas beliau, bot yang selebihnya pula dihadiahkan kepada beberapa jabatan kerajaan termasuk Jabatan Penjara, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu bagi kegunaan tertentu.

"Sehingga Jun tahun ini, Maritim Wilayah Timur juga berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam dan menahan 14 awak-awak serta seorang nakhoda dengan nilai denda sebanyak RM600,000 dan turut melelong pelbagai jenis ikan bernilai RM10,000 dan bahan api sebanyak RM6,000," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Program Gerak Saraf Jiwa Murni anjuran Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kerteh di Kampung Gelugor, Kerteh, di kelmarin.

No comments:

Post a Comment