Thursday, June 9, 2011

Johor Kian Hampiri Terengganu Dengan 16 Emas

Johor menambah satu lagi pingat emas untuk merapatkan jurang mata dengan Terengganu yang kekal sebagai pendahulu keseluruhan pungutan pingat seleps hari ketujuh Sukan Malaysia (SUKMA) XIV Kuala Lumpur, semalam.

Emas menerusi pasukan futsal lelaki itu kini membantu Johor mengumpul 16 emas, 14 perak dan enam gangsa bagi kedudukan tangga kedua di belakang Terengganu yang gagal menambah sebarang pungutan semalam, kekal dengan 23 emas, lima perak dan 10 gangsa.

Selangor mula memintas Negeri Sembilan untuk menduduki tangga ketiga apabila meraih satu emas menerusi pasukan futsal wanitanya, dan kini mengumpul 10 emas, sembilan perak dan lapan gangsa.

Dalam perlawanan futsal akhir lelaki di Kompleks Sukan Panasonic di Shah Alam, Johor dipaksa bermain sehingga separuh masa kedua sebelum membuahkan jaringan tunggal menerusi Muhd Zamiruddin Jalaludin untuk menewaskan Negeri Sembilan, 1-0.

Bagi penjaring 18 tahun itu, dia sudah menjangkakan kemenangan pasti memihak Johor biarpun mengakui lawan tidak mudah dikalahkan.

“Saya berpuas hati dengan kemenangan ini yang sememangnya dinantikan penyokong Johor dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan kerana bersungguh-sungguh mencipta kemenangan.

“Ini hasil penat lelah kami selama ini untuk memastikan emas futsal dalam SUKMA,” katanya selepas perlawanan akhir yang melabuhkan tirainya semalam, dengan perak dimiliki Negeri Sembilan manakala gangsa milik Sarawak.

No comments:

Post a Comment