Bangunan yang menempatkan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya akan dilelong hari ini sekaligus menjadikan parti itu tanpa pejabat.
Bendahari PKR William Leong yang mengesahkan perkara itu berkata lelongan awam akan diadakan di sebuah pejabat di Brickfields dekat sini, petang ini.
Katanya, lelongan akan bermula pada harga RM460,000 hingga RM1 juta bagi setiap unit, bergantung kepada lokasi unit dalam bangunan berkenaan.
Meskipun Leong pernah memberitahu Malaysiakini bahawa PKR mungkin mempertimbangkan bagi membeli bangunan itu tetapi jelasnya, ia bergantung kepada harga yang ditawarkan itu.
“Ada keputusan daripada pucuk pimpinan parti tetapi ia bergantung kepada harga,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa yang sama kata Leong, belum ada pihak yang memaklumkan kepada PKR bahawa mereka berminat membeli bangunan berkenaan.
Namun katanya, seorang peguam parti itu akan dihantar bagi memantau lelongan itu dan membuat bidaan jika perlu.
Buat masa ini PKR menyewa bangunan lima tingkat itu daripada sebuah syarikat dengan sewa bulanan antara RM10,000 hingga RM20,000.
Bagaimanpun, pemilik bangunan itu dikatakan telah gagal membayar ansuran pinjamannya dan bank mahu melelong 10 rumah kedai milik syarikat berkenaan di Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment