'Kafe Ala Bistro', bakal menjadi taruhan baru kedai kek dan pastri, Chef Lanz Recipe, untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu-satunya kedai kek dan pastri milik penuh bumiputera di Kelantan.
Pengarah Urusannya Mohd Aseri Abdullah Azzas berkata kafe berkenaan yang dibuka awal bulan ini di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, menjadi satu permulaan baru untuk membantu Chef Lanz Recipe terus dikenali pelancong dalam dan luar negara.
Beliau berkata sebagai permulaan kafe itu dibuka dengan konsep biasa pada kos RM10,000 dan dijangka dalam masa terdekat 'Kafe Ala Bistro itu akan direalisasikan selepas mendapat kelulusan daripada LTSIP yang turut merancang untuk mengubah suasana dalaman lapangan terbang itu kepada yang lebih moden.
"Chef Lanz Recipe mula dikenali di Kelantan, Pantai Timur dan kemudian di Kuala Lumpur. Dengan kafe baru yang terletak di lokasi strategik menjadi laluan keluar masuk pelancong dari dalam dan luar negara diharap kita dapat mencari pasaran baru.
"Ia juga dijangka memberi perkembangan positif untuk kita mempromosikan kek dan pastri buatan Malaysia yang halal namun setanding dengan kek buatan cef antarabangsa kepada pelancong dari luar negara dan mungkin mendapat pasaran daripada luar negara," katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Aseri yang mengusahakan Chef Lanz Recipe bersama seorang birasnya, Chef Mazlan Hassim berkata 'Kafe Ala Bistro' itu akan dibina dengan konsep santai dan moden namun selesa untuk segenap lapisan masyarakat.
Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, Chef Lanz Recipe yang dibuka pada 2009 itu kini memiliki 20 kiosk di sekitar bandar Kota Baharu selain satu cawangan di Damansara, Kuala Lumpur.
"Kita mengukuhkan kedudukan dengan cara masuk ke pasar raya dan kopitiam untuk membuka kiosk kerana kita yakin dengan cara ini kita mampu memperoleh pasaran dengan lebih menyeluruh," katanya.
Beliau berkata dalam masa terdekat pihaknya merancang membuka satu lagi cawangan di Kuala Terengganu berdasarkan permintaan tinggi daripada penduduk negeri itu.
No comments:
Post a Comment