Thursday, June 16, 2011
Keajaiban, Kekalahan Kelantan & Selangor Penuhi Impian Terengganu
Hanya keajaiban sahaja mampu menjadikan impian Terengganu menjadi juara berganda – Piala FA dan Liga Super - menjadi kenyataan.
Dengan hanya berbaki satu perlawanan, juara baru Piala FA itu kekal menghuni tangga ketiga dengan 50 mata, ketinggalan tiga mata di belakang musuh tradisi, Kelantan.
Selangor pula mengekori rapat di tempat kedua dengan kelebihan satu mata di hadapan Terengganu.
Walaupun belum menyerah kalah, Terengganu terpaksa ‘mendoakan kekecewaan orang lain’ untuk mendapatkan sesuatu yang mereka idamkan pada 6 Julai nanti.
Selain berusaha mencatat kemenangan besar ke atas Felda United pada perlawanan terakhir di Cheras, skuad Penyu mengharapkan Selangor rebah di tangan Sabah dan Selangor tewas di Ipoh menetang Perak.
Apa yang penting adalah Terengganu terus meraih kemenangan dan mencari tiga mata penuh.
Terengganu perlu menyediakan pasukan terbaik selain mengharapkan sokongan peminat terutamanya di Lembah Klang bagi memberi keyakinan luar biasa kepada pemain seperti yang ditunjukkan pada final Piala FA baru-baru ini.
Sementara tiga mata penuh yang diraih oleh The Red Warriors ketika menumbangkan Perak 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu cukup penting buat Kelantan mengintai kejuaraan Liga Super buat kali pertama.
Ketua jurulatih, Datuk M. Karathu mengakui kemenangan tersebut cukup penting buat pasukannya untuk terus memacu kedudukan selaku peneraju liga ketika dua pencabar terdekat iaitu Selangor dan Terengganu terus memberikan tekanan.
"Apa yang penting, kita perlu berfikiran positif dan yakin Kelantan mampu menjadi juara liga buat kali pertama musim ini. Bukan senang bagi Terengganu berhadapan Felda United dan tidak mudah juga bagi Selangor menentang Perak di Ipoh," katanya.
Tambahnya, untuk perlawanan terakhir bertemu Sabah nanti, beliau yakin The Red Warriors mampu mengutip mata di Kota Kinabalu meskipun bakal berdepan laluan sukar.
"Peluang untuk menjuarai liga semakin hampir. Jadi ia perlu digunakan sebaik mungkin. Saya tidak mahu memikirkan nasib pasukan lain (Selangor dan Terengganu) yang sedang mengekori rapat daripada belakang, katanya.
Amat nyata Liga Super musim ini menarik dan kompetatif dan kemungkinan besar satu lagi piala Liga Malaysia akan ke Pantai Timur, selepas Terengganu melakukannya melalui Piala FA.
No comments:
Post a Comment