Kerajaan memperuntukan RM150,000 sebagai modal permulaan untuk membuka ladang tebu telur di Kampung Bukit Munduk, Langkap, Setiu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata, seluas 20 hektar kawasan terdiri dari tanah kerajaan dan tanah milik persendirian akan ditanam dengan tebu telur untuk projek komersial.
“Seramai 27 peserta di bawah Program pembangunan rakyat Termiskin (PPRT) terpilih untuk menyertai projek perintis berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Motel Desa, Bukit Pak Apil Kuala Terengganu kelmarin.
Katanya, sebagai persediaan menjadi seorang peladang berjaya, mereka telah dibawah meninjau ke ladang tebu telur di Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini untuk melihat sendiri kejayaan petani di sana mengusaha tanaman berkenaan.
Beliau yang mengetuai lawatan berkenaan menaruh harapan besar terhadap 27 peserta itu untuk menimba pengalaman serta mencari ilmu kejayaan peladang yang mengendalikan tanaman berkenaan.
“Setakat ini kerja-kerja pembersihan kawasan sedang dijalankan dan kemungkinan selepas ini kerja-kerja menbajak tanah dan menanam dapat dimulakan,” katanya.
Katanya, peruntukan RM100,000 akan digunakan untuk urusan tanaman termasuk mendapatkan benih, baja dan sebagainya manakala selebihnya untuk kerja membersih kawasan.
Asha’ari berkata, ladang tebu telur yang dicadangkan ini akan dipelbagaikan kegunaannya termasuk menghasilkan produk-produk yang boleh memberi pulangan pendapatan kepada peserta.
No comments:
Post a Comment