Monday, June 13, 2011

Majlis Penutup Sukan Malaysia Edisi Ke-14 Berlangsung Sederhana

Kontinjen Terengganu meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia XIV pada majlis penutup di Kuala Lumpur semalam.

Majlis penutup Sukan Malaysia ke-14 tetap meriah walaupun sederhana di Stadium Mini Bukit Jalil malam semalam.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 atlet dan wakil kontinjen itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata temasya kali ini berlangsung dengan meriah dan penuh semangat kesukanan, walaupun dengan bajet sederhana.

"Ini merupakan pengajaran kepada kita bahawa penganjuran acara sukan tidak semestinya memerlukan bajet yang tinggi.

"Apa yang penting adalah pembangunan infrastruktur dan program pembangunan atlet di negeri-negeri," katanya.

Ahmad Shabery turut menyampaikan trofi juara keseluruhan kepada Terengganu, yang meraih 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa, kepada ketua kontinjen Datuk Wan Ahmad Wan Muda.

Ini merupakan kejuaraan kali ketiga berturut-turut buat Terengganu.

Sementara itu, atlet Johor, Ahmad Shafie Abdul Jabar, 20, yang meraih tiga emas menerusi acara kanu, dinobatkan Atlet Lelaki Terbaik.

Atlet berbasikal Ju Pha Som Net, 18, dari Perlis, pula merangkul gelaran Atlet Wanita Terbaik hasil kecemerlangan menyumbangkan empat emas.

Terdahulu, Ahmad Shabery menyerahkan bendera kejohanan kepada Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia, Datuk Zolkples Embong berkata, Sukan Malaysia XIV mencapai matlamat walaupun pertama kali dianjurkan setiap tahun.

Katanya, temasya kali ini mencapai tahap tertinggi terutama dalam acara bukan pilihan.

“Apa yang boleh saya rumuskan Sukan Malaysia yang akan dianjurkan setiap tahun akan memberi kesedaran kepada setiap negeri agar mengambil serius terhadap penyediaan atlet bagi acara yang kurang popular,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Jelasnya, beliau menerima reaksi positif khususnya daripada exco Belia dan Sukan negeri bahawa Sukan Malaysia yang dianjurkan setiap tahun akan menjadi titik-tolak kepada setiap negeri untuk memandang serius persediaan bagi sukan kurang popular.

“Kita dapat lihat kesungguhan negeri membuat persediaan rapi dalam acara seperti sofbol, bola baling, mendayung dan bina badan, selepas ini negeri yang kurang berjaya sudah pasti akan lebih bersedia.

“Ini yang saya katakan bahawa Sukan Malaysia XIV mencapai matlamat dan selepas ini saya mengharapkan setiap negeri akan membuat persiapan dengan lebih rapi,” katanya.

Temasya itu, yang sebelum ini diadakan secara dwitahunan, pertama kali dianjurkan setiap tahun tanpa melibatkan sukan wajib iaitu olahraga, bola sepak, renang, hoki dan badminton.

Sebanyak 4,500 atlet dan pegawai mewakili 14 kontinjen dari seluruh negara, mengambil bahagian dalam 19 sukan pilihan yang dipertandingkan di venue sekitar Lembah Klang dan Kompleks Sukan Bukit Jalil dari 2 hingga 12 Jun.

No comments:

Post a Comment