Saturday, June 11, 2011

Mampukah Penyu Tewaskan Kijang Untuk Juara Piala FA?


Analisis Hambali Abdul Latiff

Bola, bola, bola!

Hakikatnya topik bola ini diperkatakan warga Terengganu sehari dua ini. Ia tidak lain dan tidak bukan gara-gara final Piala FA yang akan berlangsungnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Lawan pasukan bolasepak Terengganu pada perlawanan akhir ialah negeri berjiran, Kelantan.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur ini menarik kerana selain inilah final pertama kedua-dua pasukan, mereka juga sedang memburu juara Liga Super tahun ini.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata hampir 80,000 tiket telah habis dijual setakat ini.

Beliau berkata sekiranya tiket habis terjual pada perlawanan akhir kali ini, ia akan memecah rekod penjualan dan juga memecah rekod keuntungan dalam penjualan tiket tertinggi iaitu Piala Malaysia tahun ini.

Sebanyak 60,000 tiket dengan harga RM50, RM30 dan RM5 untuk kanak-kanak telah habis dijual di Terengganu dan Kelantan.

Terengganu berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas berjaya menundukkan Pahang 3-2 pada perlawanan separuh akhir di Darul Makmur 13 Mei lalu.

Kali terakhir Terengganu layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pasukan Penyu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2001 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.

Persoalannya mampukah Terengganu mengulangi sejarah 10 tahun lalu itu?

Di atas kertas Kelantan dilihat ada kelebihan. Ini kerana Kelantan baru sahaja menewaskan Terengganu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah Kuala Terengganu Isnin lalu.

Selain itu apa yang menarik pada perlawanan ini ialah persaingan dua penyerang yang sama-sama mewakili Malaysia iaitu Norshahrul Idlan Talaha penyerang Kelantan dan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya (gambar kanan).

Kini dengan kedua-duanya mengumpul 15 jaringan dalam saingan Liga Super, mereka memburu gelaran penjaring terbanyak - sekali gus merebut Anugerah Kasut Emas, musim ini.

Dari segi pengalaman bermain peringkat antarabangsa kedua-duanya seimbang dan perlawanan di Stadium Nasional nanti akan memberikan kelebihan kepada penyerang yang tenang dan melakukan penyudah dengan baik dan berkesan.

Jika Kelantan turun dengan semangat serta keyakinan tinggi selepas berjaya menewaskan Terengganu Isnin lalu, Terengganu ke Stadium Bukit Jalil ibarat harimau yang luka dan akan mengamuk melalui gandingan tiga penyerangnya iaitu Abdul Hadi, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin.

Bagi Terengganu, hanya kemenangan dan membawa Piala FA ke Terengganu sahaja menjadi penawar luka Terengganu kerana diaibkan oleh Kelantan dengan 3-0 Isnin lalu.



Pastinya peminat dan penyokong Terengganu mengharapkan pengendali skuad Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim dapat memadamkan memori duka itu dengan mengatur strategi lebih berkesan agar pemain tidak mengulangi kesilapan seperti perlawanan tempoh hari.

Irfan juga bertanggungjawab untuk menggembalikan moral serta semangat pemain Terengganu yang sedikit terjejas selepas pasukan Kelantan yang juga dikenali dengan The Red Warriors.menyentap peluang memburu gelaran liga yang kini semakin terbuka, termasuk diburu pasukan Selangor.

Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut menasihatkan pasukan Bola Sepak Terengganu agar membaiki mutu permainan mereka menjelang perlawanan akhir Piala FA hari ini.

Ahmad Said berkata kemerosotan pada pasukan Terengganu pada perlawanan terakhir di gelanggang sendiri semasa menentang Kedah dan Kelantan dalam pertandingan Liga Super perlu diperbaiki segera.

Ini kerana selain untuk memburu juara Piala FA, Terengganu mempunyai dua lagi pelawanan Liga Super dan jika berjaya memenangi kedua-dua perlawanan itu, Terengganu mampu meraih enam mata menjadikan keseluruhan 53 mata serta berpeluang menjadi juara. Itupun jika Kelantan kalah salah satu daripada dua perlawanan terakhirnya.

Bak kata Menteri Besar, dalam permainan bolasepak, apa-apa boleh jadi. Walaupun Terengganu kalah di tempat sendiri, tidak mustahil pasukan ini boleh menang di Stadium Nasional bagi menjulang Piala FA selain perlawanan Liga Super selepas ini.

Bagi peminat dan penyokong pula, mereka akan pastinya berduyun-duyun ke Stadium Bukit Jalil bersama-sama peminat nombor satu Terengganu iaitu Datuk Seri Ahmad dengan harapan persembahan terbaik pasukan yang bergelar Penyu.

Dijangkakan lebih 30,000 penyokong dari Terengganu akan ke Kuala Lumpur bermula esok dan kita mengharapkan dalam semangat menyokong pasukan Terengganu, mereka mementingkan keselamatan dalam perjalanan dan menjaga disiplin ketika menonton.

Kita tidak mahu mendengar berita ada kemalangan jalan raya atau juga penonton Terengganu ditahan kerana membaling mercun, memaki anggota keselamatan atau juga bergaduh.

Polis Terengganu menasihatkan semua peminat bola sepak yang berkonvoi untuk menonton perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini supaya mematuhi peraturan jalan raya dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, peminat bola sepak negeri ini yang berkonvoi diminta mematuhi had laju dan berhati-hati susulan pertambahan kenderaan pada penghujung musim cuti sekolah.

Menurutnya, walaupun ‘teruja’ untuk berkonvoi, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan memandangkan puluhan ribu rakyat negeri ini mula menuju ke Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu, bagi menyaksikan perlawanan akhir antara dua seteru Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan.

Peminat dan penyokong Terengganu wajib menjaga tata susila dan mematuhi semua peraturan sama ada di jalan raya mahu pun di stadium.

Ini kerana semangat kesukanan bukan sahaja perlu dipupuk di kalangan pemain tetapi ia juga penting di kalangan penyokong.

Selamat berangkat dan menyaksikan final Piala FA dan berdoalah untuk kejayaan pasukan Terengganu!

No comments:

Post a Comment