Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri Terengganu mengadakan kursus jangka pendek secara intensif sepanjang Jun ini untuk golongan belia yang terlibat dalam bidang pembinaan.
Pengarahnya, Abdullah Muhamad berkata kursus berkenaan sebagai nilai tambah dan memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran diri dalam usaha memenuhi keperluan industri.
"Mara membuka peluang kepada belia dan kontraktor tempatan untuk mengikuti latihan kemahiran berkaitan sektor pembinaan, yang diadakan bermula 11 Jun hingga akhir bulan ini," katanya semalam.
Beliau berkata permohonan mengikuti kursus itu boleh dibuat melalui borang yang boleh didapati di Pejabat Mara negeri dan mana-mana pejabat Mara daerah berhampiran, tanpa sebarang bayaran.
"Program yang pertama kali diadakan ini dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Pusat Khidmat Kontraktor dan Bahagian Pembangunan Bumiputera, adalah percuma dan pihak Mara menanggung segala kos," katanya.
No comments:
Post a Comment