Sunday, June 12, 2011

Johan SUKMA Kali Ketiga Berturut-Turut - Tahniah Kontijen SUKMA Terengganu

(Berita Awal) Terengganu kini dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia ke-14 secara keseluruhannya apabila membolot 29 emas ketika Selangor hanya mampu mengutip 26 emas semuanya pada hari terakhir hari ini.

Tahniah untuk seluruh kontijen Terengganu - atlet dan pegawai - yang diketuai Datuk Wan Ahamad Wan Muda (gambar kanan)!

Biarpun Selangor menyekat kemaraan Terengganu daripada membolot kedua-dua emas yang dipertandingkan dalam acara sofbol pada hari terakhir Sukan Malaysia ke-14 di Kuala Lumpur hari ini, Selangor tidak mampu lagi mengejar Terengganu yang kemungkinan akan mengutip satu lagi pingat emas sebentar lagi menjadi 30 semuanya.

Pada perlawanan akhir yang diadakan di padang Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini, pasukan Selangor merangkul emas apabila menundukkan Terengganu 6-1 dalam acara sofbol lelaki.

Acara penutup malam ini akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di stadium mini MSN di Bukit Jalil.

Berbanding dengan edisi sebelum ini, Sukan Malaysia yang bermula secara temasya tahunan mulai tahun ini dengan berselang seli dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri, hanya mempertandingkan 19 acara pilihan.

No comments:

Post a Comment