Sunday, June 26, 2011

Memancing Kenyir - Pengalaman Tiada Di tempat Lain

Ketua Pengurus Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, A Ghai Omar (lima dari kiri), Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah bergambar bersama pemenang pertandingan memancing dalam acara tebing Tasik Kenyir sempena program BOTR di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.Kemeriahan program beri kepuasan kepada kaki pancing, orang ramai.

Program Boat On The Road (BOTR) yang masuk tahun kedua penganjurannya oleh Berita Harian bukan saja menarik perhatian kaki pancing untuk bersantai sambil memancing di Tasik Kenyir, di sini tetapi juga orang ramai yang tidak mahu melepaskan peluang melihat kemeriahan konvoi yang menjelajah ratusan kilometer dari ibu negara.

Antara mereka ialah pelajar kolej swasta, Nurul Atikah Sunusi, 21, yang tidak sabar-sabar menunggu penganjuran program berkenaan untuk melihat perjalanan aktiviti dirancang dengan lebih dekat.

“Kami sekeluarga mendengar daripada Berita Harian dan TV3 bahawa tasik ini bakal dibanjiri ramai kaki pancing yang meletakkan bot di atas kenderaan masing-masing, berkonvoi dari Sri Pentas, Kuala Lumpur. Saya dapat berasakan program ini mesti meriah dan telahan itu benar.

“Bagi saya pengalaman ini semestinya tiada di tempat lain. Tahniah kepada Berita Harian yang berjaya mempopularkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan dan memancing terkenal di negara ini,” katanya yang turut berminat menyaksikan pameran bot laju dikendalikan Marine Explorer sempena BOTR 2011 ini.

Sementara itu, Pengarah WS Event Boat Explorer Sdn Bhd, Khalid Koe Abdullah, berkata pengunjung Tasik Kenyir yang bertuah bakal menikmati pengalaman menaiki ‘banana boat’ dan mencuba jet ski percuma sempena program itu, selain aktiviti ‘parasailing’ di Pengkalan Gawi.

“Kami juga menyediakan dua F1 Powerboat dan membuka gerai pameran serta jualan untuk memudahkan pengunjung mengenali sukan air berkenaan. Kita juga merancang menawarkan beberapa lagi acara sukan air di Tasik Kenyir kerana kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju menjadikan tasik ini lokasi perlumbaan F1 Powerboat,” katanya.

Syarikat terbabit turut menawarkan diskaun istimewa 10 peratus bagi pembelian bot gentian kaca kelas GT Topper berharga antara RM1,450 hingga RM2,300 kepada pelanggan barangan sukan air jualannya di semua cawangan pengedar.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment