Mohammad Saufi Mat Senan membuktikan dia adalah permata terbaru pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) apabila muncul juara acara lepas beramai-ramai elit lelaki Siri Grand Prix Kebangsaan Peringkat Pahang (GP Pahang) pada laluan getir sejauh 164 kilometer, semalam.
Dia menghabiskan perlumbaan dengan catatan masa tiga jam 46 minit 4.641 saat.
Pelumba kebangsaan, Suhardi Hassan yang tampil dengan imej baru berambut panjang selepas berjaya mengekalkan tempatnya dalam pasukan lebuh raya negara untuk misi merebut pingat emas di Sukan SEA 2011 di Indonesia menduduki tempat kedua dengan masa 3:46:04.820s keciciran 0.179 saat di belakang Mohammad Saufi.
Pelumba pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Nik Mohd. Azwan Zulkiflie pula melakukan kejutan terbesar pada GP Pahang apabila berjaya menaiki podium dengan masa 4:46:06.970s tatkala harapan lebih terarah kepada bekas tonggak kebangsaan, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohammad Faris Razak.
Ketiga-tiga pelumba tersebut adalah antara yang terawal melakukan pemecahan di laluan berbukit sekitar Simpang Bukit Frasers-Bentong-Tras.
TSG segera mengerah pelumbanya yang berada di kelompok belakang khususnya Shahrul Mat Amin dan Mohd. Harrif Salleh cekal mengawal tempo perlumbaan.
Kemenangan Mohammad Saufi yang bijak meluru ke garisan penamat untuk mengetepikan Suhardi cukup untuk meyakinkan jurulatih TSG, Syed Mohd. Hussainie Syed Mazlan.
No comments:
Post a Comment