Tuesday, June 28, 2011

Nelayan Kuala Dungun Sokong Dalamkan Muara

Hampir 1,000 nelayan di Kuala Dungun melahirkan perasaan gembira selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi mendalamkan muara Kuala Dungun.

Kebanyakan nelayan yang ditemui Berita Harian melahirkan terima kasih kepada kerajaan yang sanggup membantu mereka menyelesaikan masalah kesukaran untuk keluar masuk melalui muara itu berikutan mendapan pasir yang semakin serius sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Mohamad Abd Ghani, 55, berkata persatuan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh yang berusaha sehingga peruntukan itu diluluskan.

Katanya, ini membuktikan kerajaan mengambil berat masalah yang dihadapi nelayan di daerah ini yang berhadapan dengan masalah itu sejak sekian lama.

“Kami berterima kasih dan berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempercepatkan pengeluaran tender dan kerja mendalamkan muara dapat dijalankan dengan segera sebelum tiba musim tengkujuh,” katanya.

Pemilik bot nelayan, Omar Mohamad, 51, berkata, dia beberapa kali berdepan kejadian botnya karam di muara terbabit dan langkah kerajaan mendalamkan muara itu dapat menyelesaikan masalah yang sudah lama dihadapi golongan sepertinya.

“Sekiranya muara itu tidak didalamkan, banyak lagi kejadian bot karam boleh berlaku sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

“Kesan muara yang cetek itu juga menyebabkan nelayan terpaksa melabuhkan bot di luar kuala kerana tidak dapat memasuki jeti Kuala Dungun untuk berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan terutamanya ketika air surut.

“Keadaan itu pernah mengorbankan seorang nelayan, Ami Amri Abu Bakar pada 2004, selepas bot gentian kaca yang dinaikinya karam dipukul ombak apabila bot pukut jerutnya tidak dapat masuk berikutan muara yang cetek,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, JPS akan mengeluarkan tender dengan seberapa segera dan kerja mendalamkan muara itu akan bermula selewat-lewatnya Ogos ini.

No comments:

Post a Comment