Tuesday, June 28, 2011

BOTR Jadi Acara Tahunan Tasik Kenyir - Ahmad Said

Program memancing sambil santai Boat On The Road (BOTR) anjuran Berita Harian dan TV3 dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu yang dilihat berjaya mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri gembira dengan kejayaan BOTR memperkenalkan Tasik Kenyir kepada kaki pancing dan pelancong akan disenaraikan sebagai satu agenda dalam kalendar pelancongan Terengganu.

Beliau berkata, sejajar itu, kerajaan negeri bercadang mempopularkan perlumbaan F1 Power Boat di Tasik Kenyir dan berhasrat menjemput peserta negara Asia mengambil bahagian dalam acara yang dirancang diadakan serentak dengan BOTR.

“Alhamdulillah, BOTR antara satu kejayaan kita bagi mempromosikan Tasik Kenyir. Tahun lalu kita bermula dengan 50 kenderaan mengambil bahagian, tetapi penganjuran kali ini penyertaan meningkat kepada 120 kenderaan dan ini membanggakan.

“Insya-Allah, BOTR akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri tahun depan dan kita merancang memeriahkan penganjuran BOTR dengan menganjurkan pertandingan F1 Power Boat,” katanya selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah BOTR di Tasik Kenyir, kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abd Rahin Mohd Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali dan Pengurus Besar Lembaga Terengganu Tengah (KETENGAH), Hamzah Ngah.

Program kali kedua penganjurannya tahun ini berjaya menarik penyertaan lebih 400 peserta dengan konvoi kenderaan pacuan empat roda yang berlepas dari Perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama ke Tasik Kenyir membabitkan 120 kenderaan.

BOTR 2011 yang berlangsung di Tasik Kenyir selama tiga hari berakhir kelmarin, mensasarkan penyertaan 800 peserta bagi merebut hadiah keseluruhan RM107,500. Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut dimenangi peserta antaranya enam motosikal, televisyen LCD, bot gentian kaca, bot getah dan hamper.

Selain menerima tajaan utama daripada kerajaan negeri, program kali ini juga turut mendapat tajaan enam penaja iaitu TCE Tackles Sdn Bhd; Nestle Products Sdn Bhd; Sar Technologies & Trading; Universal Fitness & Leisure (UFL-Coleman) dan Boat Explorer Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment