Konvoi program kembara dan memancing sambil santai ‘Boat On The Road’ (BOTR) 2011 berlepas dari perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama ke Tasik Kenyir pagi ini untuk merebut hadiah keseluruhan RM116,000 yang ditawarkan penganjur.
Juara Kategori kumpulan membawa pulang wang tunai RM30,000, naib juara RM15,000 dan RM10,000 (ketiga), manakala juara Kategori Individu (Boat House) RM12,000; kedua RM8,000 dan ketiga (RM5,000).
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melakukan upacara pelepasan itu di perkarangan Sri Pentas, Kuala Lumpur.
Selaku tuan rumah, beliau meletakkan harapan peserta BOTR dapat mengutip pengalaman baru dan menikmati keindahan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memburu kejuaraan disediakan.
Katanya, kerajaan negeri berbesar hati kerana Tasik Kenyir sekali lagi akan gamat dengan kemeriahan peserta BOTR dan yakin, peserta akan memperoleh pengalaman dan kegembiraan sepanjang program itu.
Sementara itu, penganjur bersetuju melanjutkan tempoh memancing pada hari terakhir kepada jam 1 tengah hari daripada jam 10 pagi.
Tahun ini, kerajaan negeri menawarkan nilai hadiah sekali ganda iaitu RM20,000 kepada pemancing yang berjaya membawa naik spesies Arapaima Gigas dalam pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR 2011) di Tasik Kenyir selama tiga hari itu.
Spesies ini (Arapaima Gigas) menjadi tarikan utama pada acara berkenaan di samping sembilan ikan lain yang ditetapkan pihak kerajaan negeri selaku penganjur iaitu sebarau, siakap, kelah, kaloi, temoleh, baung, toman, belida dan patin.
Pada acara sama tahun lalu hadiah yang ditawarkan adalah RM10,000, namun 200 pemancing yang mengambil bahagian gagal menemui spesies yang menghuni dasar Tasik Kenyir itu.
BOTR 2011 tahun ini diadakan lebih besar dengan penyertaan 800 orang yang menaiki 200 kenderaan 4X4 dan berlepas dari tiga penjuru iaitu Sri Pentas di Damansara, Lenggong di Perak dan Kemaman, Terengganu.
Acara tahunan ini dijangka menarik kaki pancing dari seluruh negara menggunakan bot pancing yang diangkut sendiri menggunakan kenderaan 4X4 serta kenderaan biasa yang membawa bot serta bergerak secara konvoi dari tiga lokasi pelepasan.
Selain memancing, turut diadakan acara sampingan lain termasuk sukan air dan demonstrasi perlumbaan bot F1 yang diketuai seorang bekas pelumba wanita F1 dunia, Kay Marshall.
No comments:
Post a Comment