Friday, June 24, 2011

Bekal diesel Tanpa kebenaran, Pemandu Lori Didenda RM8,000

Seorang pemandu lori didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, semalam selepas mengaku bersalah di atas dua tuduhan membekalkan minyak diesel tanpa kebenaran dan tidak membayar caj kenderaan pada 12 Jun lalu.

Hukuman ke atas Samsudin Mat Hassan, 55, dari Kampung Paya Balai Besar, Dungun Terengganu dijatuhkan oleh Hakim Fathiyah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang memandu lori memasuki Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini didakwa membekalkan bahan api sebanyak 13,650 liter minyak diesel kepada bot nelayan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah LKIM kira-kira pukul 4 petang, 12 Jun lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 13 Jun lalu disabitkan di bawah Seksyen 17(1) Akta LKIM 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum, RM15,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Samsudin didakwa tidak membayar caj kenderaan menggunakan ruang di kompleks tersebut pada tarikh dan masa sama.

Tertuduh didakwa tidak mematuhi Kaedah 10 Bahagian 1 Jadual Kedua (a)(ii) Kaedah-Kaedah LKIM (Kompleks Perikanan, Labuhan Perikanan dan Jeti Pendaratan Ikan) 2010.

Pegawai Pendakwa LKIM, Zulkifli Ismail memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan Fathiyah mengenakan denda RM5,000 bagi pertuduhan pertama atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, Fathiyah menetapkan denda sebanyak RM3,000 atau penjara empat bulan jika tidak membayar denda itu.

No comments:

Post a Comment