Wednesday, June 22, 2011

Pemain Terengganu Elak Dapat Kad Merah

Pemain skuad Penyu akan memastikan mereka ‘bersih’ daripada kad merah bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dipotong gaji serta bonus.

Pengurus pasukan, Datuk Che Mat Jusoh turut memberi jaminan para pemainnya akan sentiasa mematuhi peraturan dan menjaga disiplin ketika beraksi, bagi mengelak dilayangkan kad merah.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut yakin tiada pemain skuad Terengganu akan dikenakan kad merah selepas ini, di mana pasukan itu hanya berbaki satu perlawanan Liga Super musim ini.

Perlawanan terakhir 6 Julai ini, Terengganu akan menentang Felda United di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur.

Malah menurut Che Mat, sepanjang musim ini, tiada seorang pun pemain skuad Penyu yang menerima kad merah.

Perkara itu, katanya memberi keyakinan penuh kepada beliau mengenai tahap disiplin para pemainnya.

“Setakat ini, alhamdulillah semua pemain kita ‘bersih’ daripada kad merah dan kita yakin, dengan disiplin serta komitmen yang tinggi, tidak akan ada pemain kita yang terima kad merah pada perlawanan seterusnya nanti,” katanya.

Beliau mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said untuk mengenakan hukuman potong gaji serta bonus terhadap mana-mana pemain yang dilayangkan kad merah.

Che Mat turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar itu sebagai pendekatan positif bagi memastikan tiada pemain yang dengan sengaja melakukan kesalahan di atas padang sehingga dikenakan kad merah.

Namun, jelasnya pihaknya masih belum menerima ‘hitam putih’ daripada Ahmad berhubung arahan untuk melaksanakan peraturan itu.

Kelmarin, Ahmad berkata, semua pemain bola sepak negeri ini terutama Terengganu dan T-Team yang dilayangkan kad merah, berdepan hukuman gaji serta bonus mereka dipotong.

No comments:

Post a Comment