Wednesday, June 22, 2011
Terengganu Sedia RM800,000 Sebagai Insentif Bagi Atlet Sukma Negeri
Kerajaan negeri Terengganu akan memberikan insentif berupa wang tunai hampir RM800,000 kepada semua atlet negeri yang memenangi pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14 di Kuala Lumpur, awal bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, berkata atlet yang memenangi pingat emas akan menerima ganjaran RM5,000 manakala perak dan gangsa masing-masing RM3,000 dan RM2,000.
Katanya insentif tersebut adalah untuk semua atlet yang memenangi pingat tanpa mengira sama ada dalam acara individu atau berpasukan.
Misalnya, sekiranya sesuatu pasukan itu meraih pingat emas, maka ganjaran RM5,000 akan diberikan kepada setiap anggota pasukan tersebut.
"InsyaAllah kita akan selesaikan bayaran secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama pengurus pasukan dan jurulatih Sukan Malaysia (SUKMA) XV Pahang 2012, di Kuala Terengganu, semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Zainal Abidin Hussin.
Pada temasya edisi ke-14 dari 2 hingga 12 Jun lalu, kontinjen Terengganu muncul juara keseluruhan kali ketiga dengan mengumpul 30 pingat emas, lapan perak dan 12 butir gangsa.
Rozi berkata pada edisi tahun depan, Terengganu meletakan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan dengan mengumpul 58 pingat emas.
Beliau berkata Terengganu akan memberikan tumpuan kepada beberapa jenis sukan seperti lumba basikal, olahraga, bola sepak, sepak takraw, silat, taekwondo, menembak dan renang.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata tujuan MSN mengadakan perjumpaan dengan pengurus dan jurulatih adalah untuk mengenalpasi permasalahan yang dihadapi oleh persatuan sukan negeri.
No comments:
Post a Comment