Ahmad Said memegang ikan siakap yang dinaikkan oleh peserta sambil diperhatikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali (kiri) dan Pengarah Urusan Boat Explorer Sdn Bhd, Mike Thien (kanan) di Jeti Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, kelmarin.
Menggunakan ikan sebarau sebagai umpan untuk menaikkan toman membolehkan Mohd Syafiq Izwan Bakar, 19, dari Ajil, di sini, muncul juara kategori rumah bot (individu), manakala kumpulan Allucast Dua muncul juara kategori berkumpulan pada pertandingan memancing sambil santai Boat On The Road (BOTR) 2011, berakhir kelmarin.
BOTR 2011 menjadikan Tasik Kenyir sebagai lokasi penganjurannya menyaksikan Mohd Syafiq Izwan membolot hadiah wang tunai RM12,000, manakala Allucast Dua RM30,000 serta masing-masing membawa pulang piala dan hadiah iringan.
Mohd Syafiq Izwan yang bekerja sebagai pemandu bot laju di Tasik Kenyir, berkata dia tidak menyangka penyertaan sekadar mencuba membuahkan hasil dan wang kemenangan itu akan disimpan untuk kegunaan masa depan.
“Alhamdulillah, saya sama sekali tidak menyangka toman seberat lebih empat kilogram yang dinaikkan kira-kira jam 8 pagi semalam menjadikan saya juara BOTR kali ini. Ini adalah kemenangan terbesar sejak saya mula memancing dan menyertai pertandingan kira-kira tujuh tahun lalu.
“Saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada Berita Harian kerana menganjurkan pertandingan yang unik ini dan saya merasa gembira kerana Menteri Besar mengumumkan selepas ini BOTR akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri,” kata anak ketiga dari tujuh beradik itu.JUARA kategori berkumpulan, Allucast Dua bersama pemenang kedua, Marang Extreme Caster pada majlis penyampaian hadiah di Tasik Kenyir, kelmarin.
Sementara itu, wakil kumpulan Allucast Dua, Hashad Ali, 48, berkata mereka tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai pertandingan memancing di Tasik Kenyir membawa tuah.
“Kami bersyukur dengan kemenangan tidak dijangka ini. Sebahagian daripada wang ini akan kami gunakan untuk membeli serta menambah peralatan memancing yang diperlukan bagi kegiatan kelab. Terima kasih kepada Berita Harian, TV3 dan kerajaan negeri yang menganjurkan acara ini.
“Bagi saya, peminat dan kaki pancing yang tidak menyertai BOTR ini memang rugi besar kerana hadiahnya lumayan dan pengalaman di Tasik Kenyir yang nyaman dan kaya dengan keindahan flora dan faunanya sangat mengasyikkan,” katanya yang menaikkan ikan siakap.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, petang kelmarin.
Tempat kedua kategori individu (boat house) dimenangi Mohd Zaki Md Zin yang membawa pulang RM8,000 dan ketiga, Saifudin A Rahman yang menerima RM5,000, masing-masing berserta hadiah iringan.
Kumpulan Marang Extreme Caster pula menduduki tempat kedua kategori berkumpulan dan membawa pulang RM15,000, manakala TCE Sport 1 dari Kuala Lumpur ketiga RM10,000.
JUARA Kategori Casting Berkumpulan dari Allucast Dua, Hashad (kiri) dan Ahmad Zainal membawa pulang RM30,000.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment