Tuesday, June 28, 2011

178 Keluarga Miskin Terima Bantuan MyKasih Di Terengganu

Seramai 178 keluarga kurang berkemampuan semalam menerima bantuan daripada Yayasan MyKasih dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT), Prof Dr Yahya Ibrahim berkata kesemua keluarga berkenaan merupakan penduduk miskin sekitar kawasan kampus UMT di Gong Badak.

"Keluarga yang dipilih adalah daripada kumpulan berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan, ibu tunggal, yang mempunyai bilangan anak yang melebihi lima orang atau mengalami kecacatan kesihatan.

"Menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima RM80 sebulan," katanya di Kuala Terengganu.

Jelasnya, keluarga terpilih dikenal pasti melalui empat sekolah yang berhampiran dengan UMT iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Gong Badak, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Mengabang Telipot.

Penasihat Yayasan MyKasih, Siti Khairon Shariff berkata penerima bantuan hanya boleh membeli barangan makanan di Hypermarket Giant dan di Kedai Petronas Mesra dengan menggunakan `ePetro MyKad' sebagai cara untuk membayar barangan tersebut.

"Bantuan yang kita berikan adalah untuk penerima membeli barangan makanan sahaja. Mereka tidak boleh menggunakan wang tersebut untuk kegunaan lain," katanya dan menambah pihaknya menerima sumbangan dari syarikat korporat dan juga orang ramai.

Siti Khairon juga berkata bantuan tersebut akan terus diberikan kepada mereka yang layak pada masa akan datang dan hanya akan ditarik balik sekiranya terdapat peningkatan dalam pendapatan penerima.

No comments:

Post a Comment