Friday, June 3, 2011

Perangkap Harimau Dipasang di Dua Lokasi - Perhilitan

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu kelmarin diminta mengambil tindakan proaktif untuk memerangkap harimau yang mula membaham lembu milik penduduk di kampung Jambu Bongkok Dungun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan segera itu bagi menghilangkan keresahan penduduk yang turut bimbangkan keselamatan mereka.

“Haiwan ini mungkin secara kebetulan keluar dari kawasan hutan berdekatan untuk mencari makanan namun ia juga boleh mengundang bahaya terutamanya kepada pekebun yang keluar pada awal pagi.

“Kita bimbang haiwan ini akan menakutkan penduduk untuk keluar rumah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kejadian harimau ‘mengamuk’ di kampung Jambu Bongkok, Dungun yang dipercayai telah membaham dua ekor lembu milik penduduk.

Penduduk Kampung Jambu Bongkok yang gempar dan bimbang Rabu lalu dengan penemuan seekor harimau bersama anaknya di belakang sebuah klinik desa di situ semalam, memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Efendi Husin, 39, yang terserempak harimau betina itu pada 6 petang ketika mencari daun kayu untuk kambingnya, berkata beliau tidak berani lagi untuk ke situ.

Seorang lagi penduduk, Jusoh Awang, 45, berkata sejak penemuan itu, penduduk kampung sudah tidak berani menggunakan jalan di situ.

“Ini kerana sudah lebih 15 ekor lembu mati dibaham harimau. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Shariff ketika dihubungi memberitahu, pihaknya telah memasang dua perangkap di dua lokasi yang dikenal pasti laluan harimau terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati dua ekor harimau daripada spesies harimau belang dikesan berada di kawasan itu.

“Kita percaya harimau terbabit mengalami kecederaan kerana tabiat asalnya hanya memakan babi hutan. Mungkin kecederaan menyebabkan ia menyerang ternakan yang lebih mudah ditangkap,” ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment