Friday, June 3, 2011

Sukan Malaysia - 10 Emas Jadi Rebutan

Acara kanu harapan Terengganu dapatkan pingat emas seperti di Sukma Melaka lalu.

Biarpun sudah memulakan kempennya semalam, namun kehangatan sebenar Sukan Malaysia XIV hanya mula dirasai hari ini apabila sebanyak 10 pingat emas ditawarkan daripada sukan kanu (6), lawan pedang (2) dan judo (2).

Kanu menawarkan pingat emas terbesar dengan enam acara akhir berlangsung iaitu K1 1,000 meter lelaki dan wanita, K2 1,000m lelaki dan wanita serta K4 1,000m lelaki dan wanita di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.

Penyandang juara keseluruhan Sukan Malaysia 2010, Terengganu mensasarkan 10 daripada 18 emas yang ditawarkan daripada acara itu dengan diperkuatkan kehadiran pendayung kebangsaan seperti Khairul Anuar Mohamad, Mohd. Hakimi Abdullah, Mohd. Azlan Ibrahim, Mohd. Afandi Mohd. Azhar, Ahmad Nasir Mohamad, Norain Abdul Wahab, Siti Rajiah Ali, Habidah Nor Azahar, Norishah Yahya serta Norizlina Tajuddin.

Bagaimanapun, Perlis, Sarawak, Melaka serta Wilayah Persekutuan antara yang mampu menjadi halangan terbesar Terengganu untuk mendominasi saingan di Putrajaya. Ini adalah kali ketujuh kanu dipertandingkan pada Sukan Malaysia sejak pertama kali diadakan di Johor pada 1992.

"Saya percaya untuk Sukan Malaysia kali ini, terdapat lima pasukan yang mampu memberi persaingan sengit dalam divisyen lelaki, namun Terengganu sudah tentu pilihan utama. Dalam saingan wanita, Pahang turut memberi cabaran hebat.

"Pada saya, sukar untuk bercakap siapa yang akan mendominasi saingan keseluruhan kerana kebanyakan negeri mempunyai peluang seimbang dan kekuatan dalam acara masing-masing,'' kata Presiden Persatuan Kanu Malaysia, Zulkafli Abas.

Sementara itu tumpuan judo hari ini adalah kepada dua acara akhir kata berpasangan lelaki dan wanita di Arena Sukan Majlis Olimpik Malaysia. Johor dan Pulau Pinang merupakan pilihan utama untuk mendominasi saingan selepas masing-masing merangkul empat emas di Temasya Melaka, tahun lalu.

"Saya percaya, Johor dan Pulau Pinang akan menguasai judo dari hari pertama lagi. Kedua-dua negeri ini mempunyai kemudahan latihan yang lebih bagus berbanding pasukan lain, sebab itu mereka sangat kuat,'' kata Setiausaha Persekutuan Judo Malaysia, Chuah Ghee Huat.

Judo menampilkan 108 atlet - 59 lelaki dan 49 wanita dari 12 pasukan. Keseluruhannya 14 emas dipertandingkan.

Dari Arena Sukan MOM, tumpuan kemudian beralih ke Gimnasium 3 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di mana acara lawan pedang menawarkan dua emas dalam epee lelaki individu dan foil wanita individu.

Selangor muncul juara lawan pedang keseluruhan tahun lalu dengan merangkul lima pingat emas, justeru mereka sekali lagi menjadi tumpuan utama untuk mendominasi saingan tahun ini. Begitupun, Sabah dan Johor masing-masing dengan tiga emas di Temasya 2010, mampu menjadi pencabar utama.

Edisi ke-14 Sukan Malaysia hanya akan dibuka secara rasmi menerusi upacara pembukaan yang bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment