Monday, June 13, 2011

Peruncitan Bumiputera - YPU Buka Rangkaian T-Hardware

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) berusaha merancakkan lagi pertumbuhan usahawan kecil bumiputera dalam bidang peruncitan melalui rangkaian kedai barangan perkakasan, T-Hardware.

Pengurus Besarnya, Azmi Razik berharap pendekatan membangunkan kelompok usahawan secara tersusun dan terancang itu dapat menjadi kenyataan tahun ini dengan pembukaan premis pertama kelak.

Katanya, pelaksanaannya juga mengambil pendekatan kaedah kedai serbaneka T-Shoppe yang telah dipelopori dengan turut memberi ruang kepada usahawan kecil dalam pengeluaran produk perkakasan membekalkan kepada T-Hardware.

''Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPPMT) telah diminta untuk menerajui usaha ini dan kita masih menunggu badan itu mengemukakan blueprint untuk diteliti sebelum diangkat untuk kelulusan kerajaan," ujarnya.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia, langkah itu dapat membantu mereka yang benar-benar berminat dalam bidang itu memajukan diri dan mengembangkan perniagaan melalui kedai yang lengkap dengan pelbagai keperluan.

''Kedai-kedai ini kelak boleh memasarkan produk-produk daripada kayu, besi dan konkrit yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan sekali gus dapat membentuk rangkaian bekalan dan kawalan harga," ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua DPPMT, Tengku Ismail Tengku Jaafar dilaporkan berkata, pihaknya akan mencadangkan 20 rangkaian kedai barangan perkakasan T-Hardware di seluruh negeri ini.

Di samping itu, katanya, sebuah gudang utama dikenali sebagai Bina Trade akan dibangunkan di kawasan berhampiran Pelabuhan Kemaman bagi tapak bekalan.

Katanya, Kemaman sesuai dijadikan tapak gudang utama untuk kemudahan logistik dan simpanan barangan import yang tiba di pelabuhan itu sebelum diagihkan kesemua rangkaian T-Hardware.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment