Thursday, June 30, 2011

PPT Dapat Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S

Nor Akmal Abdul Fatah menunjukkan pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S yang diterima di Kuala Terengganu, kelmarin.

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) berjaya mendapat pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Di samping itu, empat daripada enam perpustakaan awam daerah iaitu Besut, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu turut memperoleh pengiktirafan yang sama.

Penilaian tersebut adalah berasaskan kepada lima aspek iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal.

Pengarah PPAT, Nor Akmal Abdul Fatah berkata, pengiktirafan tersebut amat bermakna buat institusi itu yang berusaha keras sejak kira-kira setahun lalu bagi menerap budaya kerja 5S secara menyeluruh di kalangan kakitangannya.

"Kami bersyukur kerana hasil usaha selama ini membuahkan hasil apabila mendapat anugerah berkenaan dan amalan tersebut akan dijadikan sebagai budaya kerja PPAT," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di majlis penutup Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif dan Amalan Persekitaran Berkualiti Wilayah Pantai Timur di Kuala Terengganu, semalam.

Penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MPC, Ahmad Fadzil Mahmud.

Konvensyen berkenaan disertai oleh 52 kumpulan dari 27 organisasi dengan lebih 700 peserta dan pemerhati dari Terengganu, Kelantan dan Pahang. Manakala, 10 organisasi terlibat dalam Konvensyen Persekitaran Berkualiti.

Organisasi lain yang turut memperoleh pengiktirafan sama termasuklah Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd., Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan, Politeknik Kota Bharu, Majlis Perbandaran Kuantan dan Universiti Teknologi Mara Kelantan.

Sementara itu, Ahmad Fadzil dalam ucapannya berkata, program itu mampu menggalakkan syarikat dan agensi kerajaan menjadi lebih berkesan dalam menghasilkan produk bermutu tinggi dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Amalan 5S adalah satu konsep untuk mewujudkan persekitaran berkualiti secara sistematik dan praktikal.

"Melalui amalan ini tempat kerja menjadi lebih teratur dan selesa sepanjang masa seterusnya kerja akan menjadi lebih produktif, cekap, selamat dan menjimatkan kos," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment