Thursday, June 30, 2011

Produk Scalogel Menang Pingat Emas di Geneva

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta satu lagi kejayaan apabila produk Scalogel, iaitu sejenis gel penyembuh luka yang dihasilkan daripada bahan terbuang iaitu sisik ikan talapia berjaya menggondol pingat emas pada International Exhibition Of Inventions kali ke-39 di Geneva, Switzerland pada 6 hingga 10 April lalu.

Produk ciptaan Pegawai Sains Institut Marin Bioteknologi UMT, Thirukanthan Chandra Segaran, berjaya menarik perhatian juri dengan kelebihannya mampu menyembuhkan luka dengan cepat iaitu 16 hari berbanding 21 hari bagi ubat biasa dan dikatakan lebih baik daripada gel gamat kerana keupayaannya menghilangkan parut.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata UMT turut memenangi dua pingat perak dan dua gangsa menerusi penghasilan produk Gamma Plus yang dihasilkan daripada gabungan kulit pisang, obor-obor dan gamat untuk menyembuhkan luka; tempat pembiakan ikan dan snek makanan kesihatan rosel.

Katanya, kejayaan UMT menerima anugerah dalam lima daripada enam penyertaan itu satu pencapaian membanggakan dan membuktikan keupayaannya sebagai universiti yang memacu aktiviti penyelidikan dan menitikberatkan kualiti serta hasil penyelidikan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Pada pertandingan itu, 765 pempamer daripada 45 negara seluruh dunia mengambil bahagian dan Malaysia diwakili tujuh universiti iaitu UMT, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Malaysia Perlis.

"Sebelum ke pameran itu, hasil inovasi dipertandingkan terlebih dulu dan mendapat pengiktirafan anugerah dan pingat peringkat kebangsaan,” katanya pada majlis Anugerah Malim Ilmu UMT di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, kelmarin yang memberi pengiktirafan dan anugerah kepada penyelidik cemerlang sebagai suntikan semangat kepada mereka lebih aktif menjalankan penyelidikan.

Sementara itu, Thirukanthan berkata, beliau bersama kumpulan penyelidiknya mengambil masa setahun untuk menghasilkan produk ini dan sedang dalam proses mempatenkannya sebelum memasuki pasaran tahun depan.

"Produk ini dapat menyembuhkan luka dalam tempoh singkat kerana ia cepat menyerap air, menjadikan kesan luka cepat kering dan kulit pengguna sembuh tanpa kesan parut," katanya.

Dr Mohd Nizam Lani yang menghasilkan Le'Ro Rosselle Leather iaitu sejenis gula-gula getah yang boleh dimakan dan ditelan meraih pingat gangsa pada pameran itu berkata, gula-gula berkenaan kaya dengan Vitamin C.

No comments:

Post a Comment