Thursday, June 16, 2011

Rasuah: Bekas Jurulatih Piala Presiden T-Team Didakwa

Bekas jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam atas enam pertuduhan mengatur perlawanan bola sepak membabitkan pasukannya dengan pasukan Pahang pada Mac tahun lalu.

Sufian Ngah, 41, didakwa memberi rasuah sebanyak RM1,500 dan RM500 kepada enam pemain pasukan T-Team, bagi tujuan tersebut pada Mac tahun lalu kira-kira 7 malam di Kampung Hulu Takir, Jalan Seberang Takir.

Bagaimanapun, Sufian yang bekerja sebagai kerani di sebuah bank di Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada Mohd Azwan Mat Ali, Muhammad Shariquddin Ibrahim, Nadzmeer Mohamad, Azuan Hussien, Mohd Hanifzam Muda dan Hafiz Mohd Noor.

Dia didakwa memberi suapan tersebut sebagai upah mengatur keputusan perlawanan membabitkan perlawanan bola sepak Piala Presiden antara pasukan T-Team dengan pasukan Pahang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Tuan Zainal Abidin Kamaruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta dua syarat iaitu dia dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Terengganu setiap dua minggu dan dilarang meninggalkan daerah Kuala Terengganu tanpa kebenaran mahkamah.

Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shabudin.

Sementara di Shah Alam, bekas jurulatih penjaga gol pasukan bola sepak Piala Presiden Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam hari ini selepas dipercayai terbabit memberi suapan dan mengatur perlawanan dalam kejohanan Piala Presiden, Mac lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang ditahan pukul 4.30 petang merupakan individu ketiga diberkas SPRM selepas seorang ahli perniagaan warga Singapura, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan bola sepak Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah.

Siasatan mendapati suspek ketiga itu dipercayai terlibat memberi suapan bersama Rajendran kepada pemain bola sepak pasukan Selangor dan T-Team Terengganu pada Mac 2010.

Dia juga jurulatih sebuah kelab dan bekas pemain bola sepak Selangor dari 1994 hingga 2000. Penahanan dibuat selepas suruhanjaya itu mengambil keterangan sembilan pemain bola sepak sejak semalam.

No comments:

Post a Comment