Thursday, June 16, 2011

Kembara Belia Terengganu Berkonvoi 800km

Dr Rosli Mat Hassan (tengah) bersama sebahagian peserta Program Kembara Belia Terengganu pada majlis pelancaran program itu di Padang Merdeka, Dungun, semalam

Program Kembara Belia Terengganu (KBT) 2011 selama empat hari bermula di sini hari ini dengan konvoi bermotosikal sejauh hampir 800 kilometer.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Azemi Che Hamid berkata, kembara anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penaja utama syarikat UMW Pennzoil Distributor Sdn. Bhd.

Menurutnya, kembara melibatkan lebih 150 peserta terdiri daripada kalangan mahasiswa UiTM dan belia tempatan akan menjayakan pelbagai kegiatan kemasyaratan terutama bersama kalangan sebaya di enam lokasi persinggahan.

Pada masa yang sama mereka akan turut didedahkan pendidikan keselamatan jalan raya dan kaedah menyelenggarakan kenderaan masing-masing.

Beliau yang juga Timbalan pengarah Penyelidikan Jaringan Industri UiTM Terengganu berkata, ia merupakan program kali kedua dan dapat dijayakan dengan komitmen bersama sektor korporat.

Para peserta dilepaskan oleh Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan di padang Merdeka di sini pagi ini. Turut hadir, Pengurus Besar Kanan UMW Pennzoil Distributor Sdn. Bhd., Mohd. Ruslan Abdul Ghani.

Mereka bertolak ke Felda Cerul, Kemaman untuk diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing bagi menyertai program komuniti bersama masyarakat di Felda itu.

"Petang Khamis ini, kembara akan menyertai program kemasyarakatan di dua tempat iaitu Kampung Kuala Kejir dan Felcra Bukit Kapah di Daerah Hulu Terengganu.

"Keesokannya, mereka akan berkonvoi ke Bukit Kluang, Besut dalam program bersama komuniti nelayan sebelum mengakhiri program di Dataran Shahbandar pada Sabtu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Dr. Azemi, program itu memberi peluang kepada golongan belia yang menunggang motosikal mendekati masyarakat dengan pelbagai program yang diadakan di setiap daerah.

Katanya, penganjuran itu merupakan satu pendekatan bijak daripada pihak UiTM dan UMW dalam usaha menyediakan program yang berfaedah kepada golongan belia khususnya dalam bidang permotoran.

Sementara itu, Mohd. Ruslan pula menyifatkan penglibatan pihaknya dalam program berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat dan diteruskan dengan kejayaan program pertama.

Baginya, program sebegini dapat dijadikan sebahagian daripada pendekatan ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti, selain mengekalkan hubungan industri antara syarikat dengan institusi pengajian tinggi terkemuka itu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment