Monday, June 20, 2011

Ribut - Hampir 200 Rumah di Teluk Pasu, Seberang Takir, Manir Rosak

Pusaran angin puting beliung yang melanda Teluk Buih, Air Papan, Mersing, kelmarin sempat dirakam pembaca setia Berita Minggu.

Hampir 200 buah rumah di 13 buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu, Seberang Takir serta Manir, mengalami kerosakan akibat dilanda ribut malam kelmarin.

ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman melawat kawasan terbabit pada malam kejadian dan berusaha membantu mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri memberitahu Teganuku, mangsa dan rumah yang rosak direkodkan untuk bantuan.

Sementara itu, wakil rakyat Teluk Pasu, Datuk Rahin Mohd Said berkata, bilangan rumah yang terbabit dalam kejadian pukul 9 malam itu mungkin meningkat kerana bancian belum diselesaikan.

Katanya, ribut berserta hujan lebat itu telah menyebabkan banyak rumah mengalami kerosakan bumbung serta banyak pokok tumbang dan menghempap bumbung rumah, kereta dan kabel elektrik di sepanjang jalan.

"Ribut ini antara yang terburuk dalam sejarah di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah-rumah mangsa ribut di beberapa buah kampung semalam.

Rahin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, berkata, Kampung Kebur Air merupakan yang paling buruk apabila lebih 30 buah rumah mengalami kerosakan.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi bantuan awal seperti atap dan peralatan bagi membolehkan rumah mangsa dibaiki.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan, penduduk dan peniaga tepi jalan sepanjang lima kilometer bermula di Kilometer 30 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan itu.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7 malam kelmarin, ia dianggap penduduk setempat sebagai luar biasa dan terburuk sejak 60 tahun lalu, apabila sebuah rumah, sebuah surau, dan deretan gerai buah-buahan rosak teruk dihempap pokok manakala atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang lima kilometer jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu turut merosakkan pagar Penjara Marang, selain menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik dan gangguan lalu lintas.

Seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, berkata, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin semasa berada di luar rumahnya.

“Saya bergegas berlari memasuki kedai tidak jauh dari rumah, sementara isteri yang berada dalam rumah mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu,” katanya ketika ditemui kelmarin.

No comments:

Post a Comment