Monday, June 20, 2011

Piala Sultan Terengganu Dijenamakan Semula Piala Sultan Mizan

Datuk Seri Ahmad Said berucap pada majlis perasmian Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2011 di Mangkok, Setiu semalam. - Gambar Harish Fadzilah

Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu yang telah diperkenalkan sejak lima tahun lalu akan dinamakan semula dan dikenali sebagai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata penjenamaan semula itu adalah sebagai mengiktiraf penglibatan peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang telah menyemarakkan minat rakyat di seluruh negara dalam sukan ini.

"Selain itu juga, sejak dianjurkan lima tahun lepas, sukan itu telah mempamerkan peningkatan dan kejayaan yang amat membanggakan dan kini sudah tiba masa untuk menaikkan taraf sukan ini...iaitu menjadikan ia sukan terunggul bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2011 dan majlis penyampaian hadiah Kejohanan Kuda Lasak Malaysia-Thailand Open Endurance Challenge Trophy '11 di Mangkok, Setiu semalam.

Yang di-Pertuan Agong turut berangkat ke majlis itu.

Ahmad Said berkata, kejohanan itu telah menjadi acara sukan utama di Terengganu dan berjaya meletakkan negeri ini sebagai salah satu destinasi penting dalam kalendar sukan berasaskan pelancongan sejak 2006.

Beliau berkata, jika tahun lepas kejohanan itu menampilkan tradisi dan warisan Terengganu melalui tema songket, pada tahun ini Piala Sultan Mizan akan bertemakan batu karang sebagai satu daripada warisan negeri ini.

Pada tahun ini, katanya, kejohanan itu dijangka menarik penyertaan lebih 90 pelumba dari 15 negara dalam acara 120km antaranya Argentina, Australia, Bahrain, Chile, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Malaysia, Qatar, Singapura, Korea Selatan dan Thailand.

No comments:

Post a Comment