Monday, June 6, 2011

RISDA Tubuh Jawatankuasa Belia Peringkat Kebangsaan

Wan Mohamad Zuki Mohamad (dua dari kiri ) menyampaikan sijil kepada peserta-peserta semasa Kejohanan Futsal Generasi Muda RISDA di Kuala Terengganu, semalam.

RISDA akan menubuhkan jawatankuasa belia peringkat kebangsaan hujung tahun ini bagi menyatu dan mendekatkan hubungan generasi kedua keluarga pekebun tanah rancangan itu di samping menentukan hala tuju mereka.

Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Korporat), Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, generasi baru tanah rancangan itu mungkin tidak mewarisi kerjaya ibu bapa mereka sebagai penoreh, tetapi boleh merencana kerjaya dan kegiatan ekonomi yang berasaskan sumber sedia ada.

''Ini termasuk sebagai peniaga, pengusaha, ejen yang menguruskan pekerja atau kebun.

''Sekiranya hasrat ini tercapai, kita percaya, purata pendapatan bulanan setiap keluarga RISDA adalah tidak kurang daripada RM2,500 menjelang tahun 2015," katanya kepada pemberita pada Kejohanan Futsal Generasi Muda Risda peringkat Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.


Hadir sama Pengarah RISDA negeri, Zakaria Mat Zin.

Sebanyak 480 peserta yang terdiri daripada 32 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita dari seluruh daerah di sini mengambil bahagian dalam kejohanan futsal itu.

Juara bagi kedua-dua kategori akan mewakili Terengganu pada kejohanan yang sama di peringkat kebangsaan nanti.

Dalam pada itu, Wan Mohamad Zuki berkata, kejohanan futsal yang dianjurkan itu bertujuan membentuk jati diri golongan belia agar sentiasa terlibat dengan kegiatan berbentuk positif.

"Apabila jati diri ini telah dibentuk, mudah bagi kami untuk mendekati golongan ini melalui program berkaitan RISDA pula," katanya.

No comments:

Post a Comment