Monday, June 6, 2011

Agong Rasmi Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 Di Terengganu

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijadual berangkat merasmikan Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Terengganu, hari ini.

Pengerusi jawatankuasa kerja perkhemahan itu, Datuk Hamzah Mohamad, berkata sebanyak 40 kuda dengan 370 peserta dan 80 jurulatih dari 18 buah kelab kuda poni menyertai perhimpunan selama enam hari itu.

Katanya sepanjang perkhemahan itu, pelbagai aktiviti disediakan termasuk menunggang kuda, seminar selain kursus bagi juru ladam.

“Tuanku Mizan akan menyampaikan plak penubuhan kelab kepada Kelab Poni Imtiaz, Kementerian Pelajaran, Kelab Poni Sabah dan Kelab Poni Sarawak pada majlis perasmian itu,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Perkhemahan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu bersama Majlis Ekuin Malaysia dan Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran.

Perkhemahan ini adalah julung-julung kalinya, Terengganu akan menjadi tuan rumah yang menghimpunkan 320 Kelab Poni dari seluruh negara mulai hari ini hingga 10 Jun ini.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah pada 18 Mei lalu berkata, sepanjang perkemahan berlangsung pelbagai aktiviti disediakan termasuk menunggang kuda, seminar selain kursus intensif bagi juru ladam.

“Tujuan program ini diadakan antara lain untuk memberi pendedahan serta pengalaman baru kepada ahli Kelab Poni selain memupuk semangat berpasukan.

“Di samping itu, ia juga diadakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan sukan berkuda di negeri ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman pada hari itu.

Mengulas perkara yang sama, Hamzah berkata, program itu turut memberi peluang kepada seluruh ahli kelab itu mendapat latihan mengenai cara menunggang kuda, kegiatan berpasukan serta latihan praktikal mengenai penjagaan kuda dan pemakanan haiwan itu.

Menjelaskan mengenai sejarah kewujudan Kelab Poni, Hamzah berkata, penubuhannya dirintis pada tahun 1929 di United Kingdom dan berkembang ke 18 negara dengan 110,477buah kelab.

“Bagi Terengganu, Kelab Poni ditubuhkan pada tahun 2006 yang dirasmikan oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Menurut beliau, dalam usia yang singkat, kelab itu berjaya melahirkan ramai penunggang kuda terlatih untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment