Thursday, June 30, 2011

Struktur Bumbung Stadium Yang Runtuh Mungkin Diganti Baru

Struktur bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) di Gong Badak yang runtuh dua tahun lepas, kemungkinan akan dicabut dan digantikan yang baru.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana bahan yang digunakan sudah patah dan sambungannya telah tercabut.

"Apa yang merunsingkan kita strukturnya juga tidak selamat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri semalam.

Beliau berkata padang dalam stadium juga rosak dan perlu dibaik pulih kerana sudah lama terbiar dan digunakan.

"Pokok-pokok yang ada juga perlu dicabut, kos berapa juta pula tidak tahulah...," katanya.

Ahmad berkata kerajaan sedang memikirkan beberapa pilihan untuk membina bumbung dan salah satunya seperti bumbung Stadium Merdeka kerana lebih ringan dan murah.

Beliau berkata masih banyak benda-benda baru dan kerja-kerja tambahan yang perlu dibuat oleh konsultan yang menjalankan kajian ke atas stadium itu.

Katanya kajian yang dijangka siap September itu berharga lebih RM2 juta.

"Saya cukup kecewa kerana stadium itu telah terbiar begitu lama," katanya

No comments:

Post a Comment