Thursday, June 30, 2011

Yusof Awang Hitam Tabur Bakti Melalui Kerja Sukarelawan

Konvoi bermotor dari rumah ke rumah sempena program turun padang di Kampung Pujuk, Manir, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Yusof Awang Hitam bukanlah seorang wakil rakyat, tetapi beliau adalah seorang pemimpin setempat yang sentiasa dilihat akrab mendampingi masyarakat melalui pelbagai gerak kerja.

Kini memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, anak kampung itu sudah terdidik dengan kegiatan sukarelawan yang gemar dilakukan melalui pertubuhan dianggotai sejak remaja lagi.

Beliau ternyata tidak mempedulikan perbezaan fahaman politik yang masih mencengkam masyarakat dalam mengisi luang-luang untuk terus berperanan dan membantu mengikut keupayaannya dengan sokongan UMNO dan kerajaan negeri.

Salah satu yang menarik tentang usahanya ialah merintis penubuhan Pusat Kesihatan Yusof Awang Hitam (PKY) di Pulau Bahagia dekat sini dengan menawarkan khidmat rawatan pakar secara percuma untuk penduduk dalam DUN berkenaan.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan ke Terengganu tidak lama dulu turut meninjau pusat itu dan tertarik dengan inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Kalangan doktor pakar yang merupakan rakan-rakannya itu turut sedia bersamanya turun padang menyelami kehidupan penduduk termasuk persoalan kesihatan mereka.
Program tersebut menjadi suatu rutin dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setempat dan wakil Utusan Malaysia turut meninjau semasa mereka turun ke kampung Pujuk baru-baru ini.

Kali ini, Yusof turut membawa bersama doktor pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Rushdan Ismail yang juga sukarelawan di PKY dan mereka menjengah puluhan keluarga dalam sehari.

Melalui sesi ziarah selama tiga hari itu yang turut menarik penglibatan Gabungan Pelajar Universiti DUN Manir dan UMNO Cawangan Manir.

Kira-kira 180 yang diziarah turut menerima sumbangan barangan dapur.

Kata Rushdan, di PKY seramai 18 orang doktor daripada Persatuan Sukarelawan Perubatan Bebas (Superb) menjadi sukarelawan untuk merawat penduduk di kawasan DUN tersebut yang mula beroperasi Januari tahun lalu.

"Kita bukan sahaja bekerjasama dengan penganjur mengadakan pusat rawatan percuma namun kita juga turun ke kampung untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan," katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Yusof memberitahu, konvoi secara bermotor menyusuri jalan-jalan kampung itu melawat warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit.

Menurut Yusof, program seumpama itu telah diadakan di beberapa buah kampung di DUN Manir seperti Kampung Tualang, Kampung Pasir Tebakang, Kampung Binjai Manis dan Kampung Durian Mas dengan sambutan yang cukup baik.

"Kita merasakan program bersemuka sebegini tanpa perbelanjaan yang besar cukup berkesan untuk kita mendekati rakyat di peringkat akar umbi, sambil mendengar keluh-kesah mereka dan memikirkan apa lagi yang boleh dibantu.

"Secara tidak langsung, kita juga dapat meninjau keadaan kemudahan asas penduduk seperti keadaan rumah, jaringan jalan kampung, bekalan air, tali air serta prasarana sukan untuk golongan muda beriadah," ujarnya.

Turut mendapat perhatian dalam kunjungan itu, Mohd. Isa Salleh, 60, yang patah kaki kiri akibat kemalangan dua bulan lalu dan dalam masa yang sama menghidap penyakit darah tinggi.

Dia yang hanya tinggal bersama seorang anak lelakinya menerima sumbangan sepasang tongkat, manakala bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedikit sebanyak meringankan bebannya yang tidak bekerja.

Sementara itu, ibu kepada tiga anak lelaki, Saodah Muda, 43, yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi antara yang mendapat pemeriksaan kesihatan daripada Dr. Rushdan.

Walaupun agak uzur, ibu tunggal itu gembira menerima tetamu yang datang bertanya khabar dan turut memberitahu mereka bahawa dia ingin bekerja untuk mencari rezeki kerana seorang lagi anaknya masih bersekolah.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment