(Ekslusif)Ganjaran untuk pemain bola sepak pasukan Terengganu,pengurus dan pegawai yang menerima durian runtuh kelmarin akan diperincikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah (gambar kiri).
Mesyuarat Exco di Kuala Lumpur malam semalam memutuskan perincian mengenai habuan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Exco Rabu depan.
Difahamkan Mazlan juga menyediakan cadangan ganjaran untuk pemenang emas Sukan Malaysia ( SUKMA) ke 14 di Wilayah Persekutuan yang meletakkan Terengganu sebagai juara tiga kali berturut-turut.
Menurut seorang Exco, Menteri Besar berjanji akan menunaikan segala janjinya kepada skuad SUKMA dan pasukan bolasepak Terengganu
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika berucap pada majlis meraikan Skuad Penyu dan wira-wira Sukan Malaysia ke-14 di Dataran Shahbandar malam kelmarin yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong berkata kerajaan negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai RM10,000 seorang.
Lebih istimewa, skuad penyu akan dibawa ke London dan penaja utama skuad penyu iaitu Top IT turut menghadiahkan komputer riba kepada pasukan itu.
Ganjaran berkenaan diberikan setelah skuad penyu berjaya meraih gelaran juara pada perlawanan akhir Piala FA, setelah menumpaskan Kelantan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Pada majlis itu, Ahmad Said mengigatkan para pemain agar tidak leka dan lalai dengan ganjaran yang diberikan kepada mereka.
Katanya dengan ganjaran yang diberikan kepada pemain diharap dapat menyuntik semangat para pemain untuk terus memburu kejayaan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.
Sementara itu bagi atlet Sukan Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas, kerajaan negeri memberi ganjaran wang tunai masing-masing sebanyak RM5,000, perak RM3,000 dan RM2,000 bagi pemenang pingat gangsa.
Berikutan kejayaan itu, Menteri Besar itu turut mengumumkan cuti umum bagi seluruh negeri itu Ahad ini.
No comments:
Post a Comment